MUHAMMAD ‘Arif antara viner yang baru meningkat naik.
MUHAMMAD ‘Arif antara viner yang baru meningkat naik.
MUHAMMAD ‘Arif melakukan suntingan video sebelum memuat naik
MUHAMMAD ‘Arif melakukan suntingan video sebelum memuat naik
LAKONAN Muhammad ‘Arif dan Safwan dalam video yang dimuat naik mereka di media sosial.
LAKONAN Muhammad ‘Arif dan Safwan dalam video yang dimuat naik mereka di media sosial.
Redzuan Muharam


Vine atau video berdurasi pendek semakin popular dalam kalangan pengguna media sosial malah ramai remaja kini terjebak dengan fenomena baru itu sekali gus menggelarkan diri mereka sebagai ‘Viner’.

Kebiasaannya, video itu mempunyai durasi kurang daripada 20 saat dan menampilkan elemen komedi bagi menarik minat netizen untuk menontonnya.

Sekiranya viral, video berkenaan akan ditonton jutaan pelayar media sosial dan jumlah pengikut viner itu juga turut bertambah.

Antara viner yang kian aktif memuat naik video di media sosial ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis, Muhammad ‘Arif Shamsul Baharin, 22.

‘Arif atau lebih mesra dengan panggilan Ayiep berkata, dia mula aktif dengan hobi itu sejak empat bulan lalu dan tidak berseorangan melakonkan aksi dalam video yang dimuat naik di Instagram itu tetapi bergandingan dengan rakan baiknya, Muhammad Safwan Mohd Nazri, 22.

“Pada mulanya, saya dan rakan hanya memuat naik video yang kami lakonkan untuk tugasan bagi subjek Bahasa Mandarin.

“Video itu hanya disunting menggunakan aplikasi Movie Maker dan tidak sangka pensyarah memuji hasil kerja yang kami lakukan.

“Sejak itu, saya bersemangat untuk menyunting dan memuat naik video di laman sosial walaupun agak kekok serta gementar pada mulanya kerana tiada pengalaman di berlakon di hadapan kamera,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, sehingga kini sebanyak 25 video sudah dimuat naik di Instagram dan dia bersyukur kerana rata-rata pengikutnya memberi maklum balas positif.

Menurut Muhammad Arif, selagi diterima, dia akan terus memuat naik video untuk menghiburkan pengikutnya di Instagram.

“Bukan senang untuk menghasilkan video yang diingati orang kerana jika syok sendiri, mesejnya tidak sampai kepada penonton.

“Kerana itu, saya sentiasa berbincang dengan Safwan (rakan) untuk mendapatkan idea yang selalunya berkisar isu dalam kehidupan seharian.

“Jadi, ke mana saja pergi, saya membawa buku nota bagi mencatat idea yang adakalanya muncul secara tiba-tiba,” katanya.

Muhammad ‘Arif yang mengagumi selebriti media sosial, Zukiee mengakui agak gementar dengan penerimaan keluarga pada awalnya kerana tidak pernah menunjukkan bakat di khalayak sebelum ini.

“Mereka rupanya terhibur dengan lakonan saya dan menyokong jika terus memuat naik video di laman sosial.

“Secara peribadi, saya sendiri gembira apabila dapat menghiburkan orang ramai dengan memuat naik video berkenaan.

“Cuma kandungan video itu perlu diteliti supaya ia tidak mempunyai maksud sarkastik yang boleh menyebabkan pertelingkahan di antara ‘keyboard warrior’,” katanya.

Menurut Muhammad ‘Arif, hobinya itu bukan saja berpotensi menjana pendapatan malah platform untuk lebih berjaya dalam bidang pemasaran pada masa hadapan.

“Selepas tamat pengajian nanti, saya mahu menceburi bidang pemasaran yang memerlukan rangkaian kenalan lebih meluas.

“Jadi, hobi ini adalah permulaannya kerana dengan adanya pengikut yang ramai, lebih mudah untuk memasarkan sesuatu produk atau perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 9:51 AM