AWAIS sangat selesa bermastautin di Malaysia.
AWAIS sangat selesa bermastautin di Malaysia.
Nurul Husna Mahmud

PADA kaca mata jurutera mikrotronik, Muhammad Awais Farooqi, Malaysia adalah negara Islam contoh dalam pencapaian pendidikan dan kemajuan teknologi menerusi dasar terbuka negara ini terhadap penerimaan kepakaran luar dalam sesuatu bidang.

Pemuda berasal dari Lahore, Pakistan ini pernah kembali ke negara asalnya tetapi terpaksa membuat pusingan U dan datang semula ke Malaysia apabila menganggur hampir setahun.

Katanya, pengetahuan dan kemahiran dimiliki lebih ‘diterima’ di Malaysia, berbanding di negara asalnya membuatkan beliau menyambung pengajian pada peringkat sarjana di Universiti Malaya selain melanjutkan pengajian doktor falsafah di Universiti Teknologi Mara dan pada masa sama, membuka perniagaan sendiri.

1. Bilakah kali pertama anda menjejakkan kaki di Malaysia?

Pada 2009, selepas tamat pengajian Advance Level. Sebenarnya saya datang ke Malaysia untuk mengikuti pengajian di Universiti Asia Pacific (APU) dalam jurusan kejuruteraan mikrotronik.

Malaysia dikenali sebagai destinasi yang menawarkan program pengajian diiktiraf dunia dibandingkan dengan program universiti di Pakistan.

Saya tidak mempunyai sebarang maklumat atau rujukan mengenai Malaysia tetapi mujurlah saya mengenali Shozab iaitu pelajar senior yang bertindak sebagai duta pelajar Pakistan bagi membantu sepanjang tahun pertama berada di universiti berkenaan.

Tahun sama, saya ambil alih peranan Shozab dalam membantu universiti mengendalikan pelajar dari Asia dan boleh dikatakan, itu adalah kerja sambilan pertama saya di Malaysia.

2. Bagaimana anda menyesuaikan diri di Malaysia?

Memang sukar hidup sendirian di rantau orang. Mujurlah saya mempunyai hubungan baik dengan Shozab yang banyak memberi tip mengenai cara untuk ‘berjuang’ pada tahun awal di Malaysia.

Mula dia berpesan, kalau pergi ke pusat bandar biarlah dalam kumpulan untuk mengelak menjadi sasaran peragut. Selain memberitahu pilihan kenderaan awam yang perlu diambil, saya diingatkan supaya menaiki teksi yang pemandunya menggunakan meter bagi mengelak ditipu.

Tidak hanya bergantung pada senior, saya juga bina hubungan baik dengan pihak pengurusan kampus, selain rakan sekelas. Pihak pengurusan kampus banyak mendedahkan saya kepada polisi dan aspek perundangan dalam negara ini. Maka, saya memahami bagaimana Malaysia berfungsi.

GEMAR dengan aktiviti luar.
GEMAR dengan aktiviti luar.

3. Apakah pengalaman tidak boleh anda lupa sepanjang berada di Malaysia?

Buruk terlebih dulu. Saya pernah mengalami insiden agak menakutkan ketika menaiki bas ekspres dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Saya diserang oleh ‘ulat tiket’ sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tulang muka patah dan pendarahan dalaman lantaran peristiwa itu. Hikmahnya ialah, meskipun saya orang asing tetapi pihak berkuasa terutama polis tempatan sangat membantu dalam kes berkenaan.

Kenangan manis pula banyak, termasuklah ketika menjadi anak ang­kat dalam satu program di Chemor, Perak. Selain mengenali cara hidup dan harmoni kampung iaitu dengan pelbagai aktiviti dilakukan secara bergotong-royong, saya tertarik pada cara mereka meraikan tetamu meskipun dalam majlis keraian.

Sebagai contoh dalam program berkenaan, kami sempat menghadiri majlis perkahwinan seorang penduduk di situ. Bermula dengan memotong daging bersama-sama hingga ke acara malam iaitu karaoke, kami diraikan seperti keluarga sendiri.

Saya dan rakan senegara turut meraikan pengantin dengan nyanyian lagu Hindi dan ternyata mereka menyukainya. Satu kampung bergembira dengan persembahan kami.

4. Bagaimana hubungan anda dengan penduduk tempatan?

Sangat baik. Saya masih berhubung rapat dengan pihak pengurusan APU, selain sering bertemu pensyarah terutamanya Dr Nukman yang mengajar ketika di Universiti Malaya.

Rakyat negara ini mempunyai kualiti baik iaitu terbuka, bertoleransi, sentiasa memberi sokongan dan mudah mesra.

Biarpun saya pergi jauh mana pun di Malaysia, saya tidak pernah menghadapi masalah meskipun orang tempatan tidak fasih berbahasa Inggeris.

Cukuplah dengan riak wajah serta satu dua perkataan bahasa Inggeris, mereka sudah tahu apa yang saya maksudkan. Seperti pengalaman baru-baru ini di Negeri Sembilan, saya bertemu dengan seorang lelaki berusia 70 tahun. Walaupun dia tidak boleh bercakap bahasa Inggeris, dia masih dapat memahami.

Saya akui lebih selesa berada di sini berbanding di Pakistan. Saya percaya orang tempatan sangat menghargai terutama apabila individu itu memiliki kepakaran dalam industri dan teknologi. Disebabkan itu juga saya mudah berkongsi dengan penduduk tempatan yang mempunyai hala tuju dan visi sama.

AWAIS pelajar cemerlang ketika di universiti.
AWAIS pelajar cemerlang ketika di universiti.

5. Bolehkah anda terima masakan tempatan?

Saya sukakan nasi goreng kunyit. Ke mana-mana pun saya pergi, hidangan itu yang dipesan. Kalau di restoran mamak pula, saya akan pesan tandoori dan nan. Saya juga menggemari hidangan sate dan barbeku.

6. Apakah aktiviti waktu lapang anda?

Saya sukakan aktiviti luar. Saya pernah mendaki gunung, berlari dan menjelajah ke setiap pelosok negeri di Malaysia. Kalau ada waktu terluang yang panjang, saya akan memandu ke destinasi menarik di Malaysia, sama ada ke kawasan hutan seperti Hulu Langat atau destinasi pulau seperti Pulau Pangkor.

7. Pernahkah anda mencuba buah eksotik di Malaysia?

Durian, saya bukan peminatnya (sambil ketawa).

Saya pernah cuba menoreh getah ketika dalam satu program ketika universiti. Di antara bau getah dengan durian, saya boleh terima bau getah kerana saya tahu mungkin ia bukan makanan.

Begitupun, saya menggemari buah-buahan seperti manggis dan rambutan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 8:03 AM