KOLEKSI jenama fesyen antarabangsa ilham daripada elemen minimalis, tenaga budaya jalanan.
KOLEKSI jenama fesyen antarabangsa ilham daripada elemen minimalis, tenaga budaya jalanan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Uniqlo kembali menghangatkan kedinginan musim luruh dan sejuk kali ini menerusi himpunan menarik koleksi Uniqlo U Fall/Winter 2020.

Sebanyak 75 rekaan pakaian untuk wanita dan lelaki termasuk empat aksesori baharu hasil kreativiti Pengarah Artistik, Christophe Lemaire dengan pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Uniqlo di Paris, Perancis.

Untuk koleksi wanita, aspek perincian dan keselesaan diilhamkan daripada elemen minimalis sementara setiap helaian hadir dengan rona menarik seperti neutral serta kepelbagaian fungsi untuk almari moden.

Bagi koleksi lelaki pula, Lemaire tampil dengan rekaan yang sarat dengan elemen tenaga budaya jalanan belia Eropah beberapa dekad lalu selain pengaruh pakaian klasik dan sukan.

KOLEKSI menarik daripada Uniqlo U untuk menghangatkan kedinginan musim luruh/sejuk kali ini.
KOLEKSI menarik daripada Uniqlo U untuk menghangatkan kedinginan musim luruh/sejuk kali ini.

Harian Metro turut berkesempatan mendapatkan pandangan Lemaire berkenaan koleksi terbaharu itu dan berikut adalah butirannya:

S1. Apakah titik permulaan anda untuk koleksi ini?

Apabila kami mula mengusahakan musim Uniqlo U yang baharu, saya selalu bertanya apakah bahagian penting yang diperlukan dalam koleksi berkenaan.

Ideanya adalah untuk membuat penyelesaian pakaian dan potongan yang orang ramai ingin serta perlukan.

Untuk itu, pasukan berusaha mencari keseimbangan antara fungsi, praktikal dan keselesaan dengan pemilihan fabrik serta warna yang tepat.

GAYA kasual untuk lelaki gayakan pada musim luruh/sejuk kali ini.
GAYA kasual untuk lelaki gayakan pada musim luruh/sejuk kali ini.

S2. Anda menghasilkan untuk penggemar Uniqlo U di seluruh dunia, apakah kaitan dengan proses kreatif?

Keistimewaan Uniqlo, apabila kami hadir di seluruh dunia dan cabaran yang menggembirakan adalah memastikan seramai mungkin orang memahami hasil kerja.

Itulah sebabnya mengapa kami tidak mahu koleksi berkenaan menjadi terlalu dirujuk, tegang atau ironis. Jadi, ketika proses rekaan, kami sentiasa memikirkan pelanggan dan mencari kualiti kesejagatan, ia harus difahami oleh semua.

Kadang-kadang kami idealis dalam mengemukakan idea tetapi kami akan berdebat sama ada pakaian itu komersial atau tidak.

KOT denim dengan perincian pakaian kerja yang tidak kurang menarik untuk digayakan
KOT denim dengan perincian pakaian kerja yang tidak kurang menarik untuk digayakan

Akhirnya, anda perlu mempercayai naluri sendiri. Ia adalah latihan yang menarik bagi setiap musim untuk mengimbangi garis halus antara apa yang dapat dijangkakan dari segi harapan pelanggan dan apa yang anda fikirkan dari segi rekaan.

S3. Bagaimana koleksi baharu ini berbeza dengan koleksi sebelumnya yang dihasilkan untuk Uniqlo U?

Setiap koleksi dihasilkan untuk menjadi evolusi daripada yang sebelumnya. Saya sentiasa mahu ia ada kaitan justeru kami mengusahakan setiap rekaan sebagai tambahan daripada yang dihasilkan sebelumnya bagi membantu pelanggan membina almari pakaian mereka.

S4. Warna adalah aspek penting dalam menghasilkan koleksi; bagaimana anda menentukan arah warna Uniqlo U secara keseluruhan?

Kadangkala kami mempunyai warna yang lebih kuat, tetapi selalunya kami mencari warna neutral yang sesuai.

Oleh itu, jika mahu memasukkan warna kuning air dalam koleksi, kami akan menerokai setiap warna kuning air daripada warna cafe latte hingga rona pasir.

Banyak perhatian diberikan kepada aspek berkenaan dalam menghasilkan sesuatu himpunan dan untuk koleksi wanita musim ini contohnya kami berminat dengan warna kulit dan warna neutral.

Selain itu, kami turut bermain dengan warna bayangan solekan dan untuk pakaian lelaki, diselitkan rona lebih pelbagai dengan 'korduroi,' misalnya, dalam warna oren atau biru kehijauan.

S5. Bolehkah anda terangkan mengenai arah keseluruhan koleksi pakaian wanita untuk musim ini?

Untuk koleksi pakaian wanita, kami mahukan sesuatu yang lebih clean dan ramping dari segi bayangan dengan rekaan seluar kaki lurus serta gaun lurus.

Ia banyak diilhamkan daripada gelombang fesyen minimalis tahun 1990-an dan fokus utama adalah kepada fungsi dengan fabrik dan kemasan yang istimewa.

S6. Bagaimana dengan koleksi pakaian lelaki, bagaimana anda menerangkannya?

Paninari adalah gerakan pemuda di utara Itali pada akhir 1980-an dan kami memulakan koleksi pakaian lelaki dengan melihat gambar Paninari itu untuk mendapatkan inspirasi.

Sudah tentu, rujukan selalu menjadi titik permulaan dan pada akhirnya ideanya adalah untuk membuat potongan pintar untuk lelaki seperti chinos kaki lurus dengan lipatan kekal.

Musim ini, kami berminat untuk menambahkan lebih banyak jumlah koleksi dengan bayangan kotak dan perkadaran yang besar.

Selain itu, terdapat beberapa rujukan pakaian sukan dan banyak kerja tertentu kepada aspek fabrikasi dan dan berat fabrik.

S7. Sentiasa ada potongan denim yang hebat dalam koleksi Uniqlo U dan apa yang anda lakukan dengan fabrik itu untuk koleksi musim luruh ini?

Denim adalah fabrik yang hebat dan kami suka menggunakannya dalam pelbagai cara. Kami memiliki pasukan penyelidikan dan pembangunan yang luar biasa di Los Angeles untuk itu.

Contohnya untuk musim ini, kami ingin mencadangkan kot denim dengan perincian pakaian kerja untuk wanita.

Kot yang dihasilkan luar biasa dan ia boleh digayakan dengan baju denim.

S9. Apa sorotan kegemaran peribadi anda dalam koleksi ini?

Seperti yang anda tahu, saya gemarkan keseluruhan koleksi namun jika harus memilih sesuatu, saya akan mengatakan bahawa kot kapas berlapis lembut (koleksi wanita) adalah tambahan yang bagus.

Saya rasa kami berjaya mencipta bentuk yang elegan dan kotnya juga hangat serta selesa. Saya sangat gemari warna yang jenis latte cafe ringan.

Bagi saya, kot itu begitu menyerlah imej Uniqlo U. Saya juga menyukai semua kepingan kulit kedua yang diperbuat daripada 'rajutan' tolok halus dan 'merino' yang sangat lembut.

Tentu sahaja 'terry Perancis' yang sangat bersih dan indah. Kami turut mencadangkannya dalam warna yang tidak biasa, seperti merah jambu untuk lelaki. Ia mungkin rekaan kegemaran saya.

CHRISTOPHE Lemaire
CHRISTOPHE Lemaire

S10. Adakah anda fikir hubungan antara individu dengan pakaian mereka sudah berubah kerana pandemik global semasa? Apa pendapat anda bahawa koleksi ini dapat diterima orang ramai yang sudah melalui pelbagai pengalaman sejak beberapa bulan kebelakangan ini?

Saya rasa orang ramai menilai hubungan itu dengan aspek kepenggunaan kerana mereka mahu membeli yang lebih baik sama ada makanan mahupun barangan lain.

Mungkin mereka mencari sesuatu yang sederhana dan mudah, hanya barangan yang sesuai iaitu seluar jeans, seluar, jaket , kemeja-T atau kemeja yang sesuai sahaja,

Saya rasa baik Uniqlo mahupun Uniqlo U, sesuai untuk evolusi antara manusia dan hubungan mereka dengan pakaian.

Pandemik ini menguatkan keyakinan bahawa kami akan menghasilkan produk yang sesuai untuk memenuhi keperluan semua peringkat umur. Apa yang penting, kami berusaha mencipta pakaian berkualiti tinggi yang sempurna.

S11.Apa yang anda mahu orang tahu mengenai pendekatan anda dalam mereka koleksi Uniqlo U?

Saya ingin orang ramai tahu bahawa kami benar-benar bekerja dengan penuh semangat selain banyak menimbangkan pelbagai faktor dalam mereka sesuatu pakaian.

Ia sesuai dengan falsafah di Uniqlo iaitu untuk mencadangkan keperluan 'LifeWear' yang lebih baik.

Ini bermaksud banyak percubaan dan kesilapan berkaitan dengan fabrikasi, perincian, penyelesaian dan fungsi.

Agak menarik apabila memberi maklum balas terhadap cadangan itu dan ia adalah sesuatu yang kami banggakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 7:00 AM