JATUH cinta dengan Malaysia sejak tiba di negara ini. FOTO Nik Hariff Nik Hasan
JATUH cinta dengan Malaysia sejak tiba di negara ini. FOTO Nik Hariff Nik Hasan
Nurul Husna Mahmud

SEPANJANG sejam berbual bersama Pensyarah Bahasa Universiti Malaya (UM), Kim Keum Hyun yang berasal dari Seoul, Korea Selatan ini, nyata penguasaan bahasa Melayunya jauh lebih baik daripada orang tempatan.

Meskipun beberapa kali menegaskan dia bukan penutur bahasa Melayu yang baik, namun sebagai orang tempatan jujur penulis simpulkan, penggunaan perkataan yang dipilih bagi menggambarkan pengalamannya ketika berada di Malaysia nyata luar biasa.

Katanya, cinta terhadap budaya Melayu membuatkan dia mendalaminya hinggalah ke Malaysia selain terus menetap di sini kerana sikap rakyat dan keindahan negara ini.

Bila kali pertama tiba di Malaysia?

Saya belajar bahasa Melayu Indonesia-Malaysia di Universiti Hankuk dan mula mengagumi sosio-budaya Melayu sejak itu.

Jadi apabila kerajaan Korea atas inisiatif presiden ketika itu mahu kepakaran rakyat terhadap Asia Tenggara, saya menyambung pengajian sarjana.

Sejak itu saya berada di Malaysia berkhidmat dengan Universiti Malaya yang mempunyai reputasi bukan saja di Asia malah dunia.

Bagaimana kali pertama anda berada di Malaysia?

Saya jatuh cinta dengan Malaysia sejak awal lagi. Di Korea budaya kami semuanya berkait dengan material dan rupa.

Jadi kalau lihat kebanyakan rakyat Korea, wajah mereka kelihatan tegang disebabkan persekitaran dan budaya kami.

Berbeza di Malaysia, ibarat kejutan budaya apabila saya lihat rakyatnya mudah tersenyum.

Hinggakan mereka yang bekerja cuci sampah, saya lihat mereka sentiasa senyum dan sangat bahagia.

Jadi saya memang tertanya-tanya dan sejak itu saya ingin sangat mengenali Malaysia.

USAHA memperkenalkan budaya Korea kepada masyarakat tempatan dan juga sebaliknya.
USAHA memperkenalkan budaya Korea kepada masyarakat tempatan dan juga sebaliknya.

Apakah yang anda suka mengenai makanan di Malaysia?

Sangat suka (sambil ketawa). Saya sangat sukakan durian tempatan kerana tekstur dan rasanya sedap.

Sebenarnya kalau di Korea, durian buah yang sangat mahal boleh mencecah sehingga RM200 sebiji.

Di sini durian segar dan harganya jauh lebih murah. Mula-mula makan memang terkejut tetapi saya belajar cara makan terbaik iaitu letak dalam peti ais dan dinikmati ketika sejuk. Memang terbaik.

Apakah pengalaman tidak boleh anda lupa ketika di Malaysia?

Banyak. Maklumlah antaranya saya sering dijemput menjadi jurubahasa untuk diplomat Korea Selatan yang datang ke Malaysia. Reaksi pemimpin tempatan sebaik saya menjawab pertanyaan mereka dalam bahasa Melayu sangat mengejutkan. Mereka sangat mesra dan lebih santai setiap kali saya menjadi perantara antara dua hubungan diplomatik.

Maklumlah karakter Korea dengan budayanya berbeza iaitu lebih ‘keras’ dan ‘kasar’ berbanding masyarakat tempatan yang lebih lembut dan toleransi.

SERING menjadi perantara bagi kerajaan Malaysia dan Korea.
SERING menjadi perantara bagi kerajaan Malaysia dan Korea.

Apakah destinasi kegemaran anda?

Saya sangat sukakan cuaca panas Malaysia. Suami juga sangat sukakannya sebab dia boleh main golf sepanjang masa. Ibu saya dua kali setahun pasti datang ke Malaysia.

Destinasi kegemaran kami sekeluarga adalah Langkawi, Terengganu dan kalau mahu rasa sejuk atau rindu Korea, saya akan ke Bukit Fraser atau Cameron Highlands, Pahang. Terbaru saya ketahui ramai kenalan gemar ke Kota Kinabalu, Sabah kerana jaraknya hampir dengan Korea iaitu sekitar tiga hingga empat jam penerbangan.

KETIKA melancong ke Terengganu.
KETIKA melancong ke Terengganu.

Sepanjang berada di sini apakah sumbangan atau peranan ekspatriat dalam pembangunan Malaysia?

Sebenarnya kami adalah ‘jambatan’ kedua-dua negara.

Seperti saya maklumkan di awal, sebagai pelajar penajaan kerajaan seharusnya selepas tamat pengajian saya menjadi diplomat.

Namun, melihat peranan dimainkan termasuk perkongsian pengetahuan dan skil antara kedua-dua negara banyak membantu merapatkan hubungan diplomatik.

Jadi saya lihat hubungan itu dapat dipertingkatkan beberapa inisiatif termasuk bermula dengan Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan Tun M sendiri dengan penyertaan Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 7:00 AM