PERINCIAN pada rekaan sedia pakai SS tonjol ciri sofistikated sesuai untuk ke majlis mahupun keramaian.
PERINCIAN pada rekaan sedia pakai SS tonjol ciri sofistikated sesuai untuk ke majlis mahupun keramaian.
Nurul Husna Mahmud


Daripada gaya jalanan berubah kepada fesyen bertaraf tinggi antara sentuhan unik dapat dilihat pada koleksi Musim Bunga dan Panas 2017 pereka muda Salina Suzaily.

Membawa jenama sendiri menerusi kombinasi dua huruf pangkal namanya dan bapa, SS, bekas graduan Universiti Lim Kok Wing 2015 itu melangkah berani apabila tampilkan enam rekaan sedia pakai (RTW) antaranya jaket, blaus, sut kimono dan ‘overalls’ sesuai untuk lelaki mahupun wanita.

Kata Salina, bagi koleksi sulungnya itu, idea rekaan ialah gaya kasual yang sering dikenakan golongan muda tempatan terutama dalam fesyen jalanan.

“Disebabkan rekaan ini mengenai pakaian sedia pakai, saya ambil kira faktor selesa dipakai, selain sesuai dengan gaya hidup aktif masyarakat tempatan. Jadi dasar kepada rekaan ini, saya merujuk pada gaya fesyen jalanan.

“Membezakan pemakai ketika mereka mengenakan koleksi RTW SS ialah rupa atau perincian pada koleksi ini yang menonjolkan ciri sofistikated sesuai untuk bergaya ke majlis mahupun keramaian,” katanya.

Kata Salina, biarpun rekaan tampak kemas, bersih dan minimal, elemen dimuatkan untuk perincian rekaan koleksi itu membuatkan setiap ‘look’ itu istimewa.

“Banyak sebenarnya elemen saya bawa untuk koleksi ini antaranya idea kontras iaitu penggunaan warna hitam dan putih, ‘kedalaman’ dihasilkan menerusi tindihan material, ilusi terhasil daripada manipulasi fabrik dan juga cetakan seperti garisan berus (brush stroke).

“Sebenarnya saya teruja dengan idea bagaimana garisan berus nampak semula jadi tetapi pada masa sama boleh nampak malar jika buat dibuat berulang kali.

“Melengkapkan lagi rekaan ini, saya menggunakan teknik cetakan digital bagi sebahagian besar rekaan baju dalam koleksi terbabit,” katanya.

Kata Salina, dia gemar menggunakan material campuran poliester kerana tampak lebih menonjol. Dalam koleksi ini terdapat juga dua ‘signature’ kemeja T yang memaparkan logo jenamanya berharga RM59. Manakala untuk koleksi busana terbabit bermula RM199 sehingga RM500 mengikut material dan rekaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:09 AM