GAYA maskulin terserlah dengan potongan muat padan.
GAYA maskulin terserlah dengan potongan muat padan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Dominasi fesyen di negara ini dilihat tidak lagi terarah kepada wanita, sebaliknya lelaki juga tidak ketinggalan dalam mengikuti trend fesyen semasa.

Kemunculan pereka berbakat dalam merealisasikan impian ramai lelaki untuk tampil menarik dan bergaya turut mengubah landskap fesyen lelaki. Malah kini ada banyak pilihan buat mereka untuk memilih rekaan yang sesuai dengan kehendak masing-masing.

Pemakaian kemeja-T pula bersifat universal yang sentiasa menjadi pilihan lelaki untuk acara santai. Justeru, Momo Shop Online tampil dengan rekaan kreatif menjadikan pilihan busana sedia dipakai (RTW) jenama itu untuk mereka yang mementingkan gaya ringkas, tapi tetap ranggi.

Pengasasnya, Amirul Hafis berkata, setiap rekaan sentiasa mengikut peredaran fesyen. Justeru, rekaan segar dan tersendiri menjadi kekuatan jenama itu.

Selain pilihan material yang diberi fokus utama, keunikan cetakan pada sebahagian koleksi kemeja-T menjadikan penampilan lelaki lebih bergaya dan maskulin.

“Koleksi kami memberikan lebih pilihan buat lelaki yang mementingkan penampilan harian yang sesuai dengan cita rasa dan gaya hidup mereka yang sentiasa sibuk.

“Seiring peredaran dunia fesyen kian rancak, permintaan daripada masyarakat yang mementingkan gaya fesyen lebih kasual. Kami juga memahami lelaki hari ini bukan saja mementingkan gaya, tetapi juga keselesaan dan kekemasan ketika mengenakan pakaian.

“Koleksi ini menerapkan konsep ‘less is more’ dan sesuai untuk pelbagai lapisan golongan selain menyuntik nafas segar bagi golongan lelaki agar menampakkan mereka lebih bergaya, moden dan elegan,” katanya.

Menurutnya, selaras peredaran zaman, ramai lelaki kini lebih gemar bergaya kasual untuk ke pejabat atau ke majlis menyebabkan jenama itu mempelbagaikan pilihan dengan mengetengahkan koleksi kemeja kasual yang bukan saja kemas, tetapi juga sofistikated dan bergaya.

Setiap koleksi yang dikeluarkan mempunyai konsep trendy dan segak. Bagi memastikan ciri eksklusifnya, setiap keluaran adalah terhad.

Sudah pasti kualiti antara faktor yang menjadi tumpuan utama dan perlu dititikberatkan. Koleksi ini menggunakan 100 peratus material berkualiti tinggi dan ia bukan saja boleh digayakan semua golongan malah sesuai untuk semua peringkat umur.

Selain itu, potongan muat padan yang diketengahkan jenama ini menambahkan gaya maskulin lelaki masa kini manakala saiz pilihan daripada S sehingga XL.

“Harga yang kami tawarkan juga mampu milik dan berpatutan agar semua golongan mampu mendapatkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 2:21 PM