ALEEYA (dua dari kanan) bersama model ketika mempamerkan koleksi kapsulnya.
ALEEYA (dua dari kanan) bersama model ketika mempamerkan koleksi kapsulnya.
Hafiz Ithnin


ANAK kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini sememangnya menggemari aktiviti sukan luncur yang dilihatnya bukan sekadar satu aktiviti lasak. Namun, ia mempunyai keunikan tersendiri dari segi komuniti dan pemandangan yang dapat dinikmati oleh si peluncur.

Meskipun belum berpeluang melakukan aktiviti itu, bagi pereka fesyen muda itu, menerapkan budaya sukan luncur dalam rekaannya sudah cukup memberi kepuasan.

Bagi si pemilik nama Wan Nur Aleeya Wan Faizal, 25, dia merasakan aktiviti sukan luncur mempunyai aura tersendiri dan mampu memberi keunikan di dalam sebuah busana terutama gaya jalanan.

Gadis yang lebih mesra disapa Aleeya itu berkata, bagi menghasilkan koleksi kapsul, dia membuat pembacaan mengenai sukan luncur dan berjumpa secara terus dengan mereka yang aktif di dalam sukan sukan itu.

"Bagi saya apabila dengan mereka yang aktif di dalam sukan ini kita boleh memahami secara dekat mengenai sukan itu. Selain itu, menerusi pembacaan mengenai budaya sukan luncur air juga membuka mata saya bahawa ia bukan sekadar sukan tetapi membabitkan komuniti.

"Justeru, saya gabungkan semua pengalaman ini di dalam koleksi kapsul saya supaya ia dapat mencerminkan sebuah budaya luncur yang bukan sekadar bercerita mengenai cabaran melawan ombak," katanya.

BERSAMA model ketika sesi fotografi.
BERSAMA model ketika sesi fotografi.

Katanya, dari segi konsep rekaan pula ialah pakaian bersaiz besar, warna warni dan selesa. Selain itu memberi gaya yang menarik. Justeru dia mereka dua gaya cetakan.

"Pertama corak garisan seperti alur ombak yang mencerminkan menunjukkan luncur air itu sendiri kerana ia adalah satu budaya penting. Ombak yang direka adalah bermaksud 'waves of emotion' kerana rekaan ini menunjukkan emosi pemain sukan luncur air ketika beraksi.

"Rekaan gaya cetak kedua, adalah inspirasi dari skatepark. Di sini saya bermain dengan bentuk skatepark dan warna yang sedikit gelap untuk membezakan pakaian dan corak berkenaan," katanya.

Tambahnya, antara karakter unik yang ada pada rekaan itu adalah rekaan cetakan dan pelbagai poket. Malah perincian yang ada pada rekaan ini seperti top stitch di atas garisan corak itu untuk menunjukkan tekstur.

"Panel pada pakaian itu diambil daripada bentuk papan luncur itu sendiri seperti bahagian tepi seluar yang berbentuk bujur. Warna yang saya pilih adalah rona yang terang untuk memberi aura kegembiraan seiring dengan inspirasi budaya papan luncur.

PROSES mencantumkan poket.
PROSES mencantumkan poket.

PROSES pembuatan yang menekankan perincian.
PROSES pembuatan yang menekankan perincian.

"Warna-warna yang saya pilih adalah dari laut di pantai. Terutama ketika matahari terbenam. Warna biru dan ungu diambil dari langit. Manakala kuning dan oren dari matahari. Saya mengambil pantai sebagai inspirasi warna kerana budaya papan luncur ini berasal daripada budaya meluncur pada akhir 1940-an di California," katanya.

Katanya, dari segi teknikal terdapat beberapa panel pada rekaan itu. Dia banyak bermain dengan top stitch yang dijahit semula di atas garisan rekaan cetakan itu menggunakan benang denim berona hitam dengan jahitan mata yang lebih besar.

"Proses ini mengambil masa yang agak lama kerana perlu teliti supaya jahitan tidak terkeluar daripada garisan rekaan cetakan berkenaan. Saya juga membuat topstitches pada poket, sama ada beberapa jahitan garisan lurus ataupun yang berombak.

"Selain itu, saya menggunakan chain dan straps untuk menambah perincian pada baju berkenaan. Kain skuba digunakan untuk bahagian rekaan cetakan kerana memberi bentuk yang begi dan selesa untuk si pemakai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 6:46 AM