BUSANA ringkas untuk musim bunga dan panas 2018 itu tonjolkan idea unik Cosry.
BUSANA ringkas untuk musim bunga dan panas 2018 itu tonjolkan idea unik Cosry.
Intan Mas Ayu Shahimi


Sebut saja Cosry, pasti ramai yang teringat pada gaun pengantin pelakon jelita Anzalna Nasir yang diilhamkan daripada patung Barbie Mariposa. Sememangnya jenama ini begitu sinonim dengan koleksi gaun perkahwinan indah serta kebaya tradisi untuk pasangan mempelai.

Malah, ramai artis yang pernah menyarung gaun perkahwinan Cosry pada hari bahagia mereka, antaranya Erra Fazira, Bunga Citra Lestari, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Nana AF dan yang paling tular di seluruh negara adalah Anzalna Nasir.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jenama ini semakin mendapat tempat di hati mengikut fesyen dan selebriti tanah air. Bukan setakat menyediakan busana perkahwinan dan gaun mewah yang sarat dengan perincian, Cosry juga tidak menang tangan menghasilkan rekaan siap pakai (RTW) untuk empat musim.

Terbaru, jenama itu membawakan koleksi RTW Blanc & Noir (hitam dan putih). Busana ringkas untuk musim bunga dan panas 2018 itu menonjolkan idea unik Cosry untuk wanita yang mementingkan gaya elegan dan ringkas dalam penampilan.

Menurut Pengarah Kreatif House of Cosry, Putra Aziz, dia mengambil masa dua hari untuk mereka kesemua 20 koleksi dan disiapkan dalam tempoh dua minggu, sebelum diperagakan di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 (KLFW 2017), lalu.

“Saya sengaja memilih tema hitam putih untuk keseluruhan koleksi kali ini. Saya mahu lari daripada kebiasaan dan melihat sejauh mana sambutan diterima untuk gaya serta motif baru ini.

“Jika dulu, Cosry sarat dengan perincian dan banyak bermain dengan warna serta fabrik bersifat couture, musim ini tiada yang sebegitu. Semuanya bersifat siluet ringkas. Tidak ada elemen couture. Jadi, ia boleh terus diulang pakai untuk penampilan harian, jamuan teh atau sebarang majlis rasmi lain,” katanya.

INSPIRASI CHANEL 1991

Sesuai dengan musim, Putra berkata, dia memilih untuk mengetengahkan potongan moden yang lebih ringkas, pendek dan beralun. Celana pendek, blaus, skirt, jumpsut dan seluar paras betis dipadankan dengan gaya lebih kasual tetapi sesuai untuk keperluan formal.

“Ada fabrik polos dengan perincian batu kristal dan ada juga yang bercorak abstrak. Sebagai melengkapkan koleksi, saya juga ada mengetengahkan rekaan dengan motif daun serta bunga.

“Perincian batu kristal Swarovski tidaklah sarat seperti rekaan Cosry yang lalu. Saya cuma beri sedikit penekanan di bahagian leher, bahu, dada dan lengan untuk menaikkan seri busana.

“Secara keseluruhannya, saya banyak mengambil inspirasi daripada rekaan fesyen Chanel 1991 kerana fesyen hari ini semakin kembali kepada yang asas. Fabrik pula saya pilih dari jenis sutera organza, wul dan kapas bercorak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 4:03 AM