SEGMEN fesyen pakaian jalanan menjadi pilihan Ivy.
SEGMEN fesyen pakaian jalanan menjadi pilihan Ivy.
Hafiz Ithnin

PEKA kepada isu pembalakan yang memberi kesan buruk terhadap kelestarian alam semula jadi, pereka fesyen muda berusia 24 ini menjadikannya sebagai idea mencipta koleksi kapsul sentuhan peribadinya.

Melihat sendiri rekaan kapsul itu dalam segmen gaya jalanan sememangnya memberi kesan secara peribadi kepada penulis memandangkan pereka muda pada hari ini lebih peka untuk mengangkat tema kesedaran di dalam rekaan mereka.

Bagi pemilik nama Ivy Cathrine Koh Pei Fang, dia yang dibesarkan di Sabah yang mempunyai keindahan alam semula jadi tersendiri, berasa bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran untuk melestarikan khazanah tidak ternilai itu.

Katanya, dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk membuat kajian mengenai isu yang ingin diangkat di dalam tema rekaannya.

"Pada saya, bergelar pereka fesyen bukan sekadar untuk menjadikan pemilik busana sekadar tampak cantik apabila mengenakan sesuatu pakaian semata-mata tetapi ia sewajarnya mempunyai maksud tersendiri.

"Jadi, saya melihat isu pembalakan antara yang sering menjadi bualan apabila bercerita mengenai alam semula jadi dan saya dibesarkan di kawasan kampung yang mempunyai khazanah alam itu. Jadi, sudah semestinya inginkan ia menjadi sesuatu yang lestari dan bukan disia-siakan," katanya.

GABUNGAN antara feminin dan maskulin dalam rekaan.
GABUNGAN antara feminin dan maskulin dalam rekaan.

CETAKAN corak kayu membawa tema kelestarian alam semula jadi.
CETAKAN corak kayu membawa tema kelestarian alam semula jadi.

Pereka fesyen itu turut menginspirasikan isu pembalakan di dalam segmen pakaian gaya jalanan yang dilihat sebagai satu paduan menarik.

Jelasnya, pada hari ini peminat fesyen terutama orang muda berani untuk mengenakan pelbagai gaya jalanan bagi disarungkan setiap hari.

"Apabila saya memilih corak bersandarkan rona dan corak kulit kayu ini saya merasakan ia tidak keterlaluan serta boleh disarungkan oleh peminat gaya jalanan.

"Malah, apabila golongan muda sendiri yang memakai dan memahami di sebalik rekaan itu, ia sekali gus menerapkan kesedaran kepada mereka untuk lebih menghargai khazanah alam semula jadi," katanya.

Dia yang mempunyai pencapaian sebagai Malaysia Airport Care Ambassador Uniform Design Competition 2020 iu turut mengakui, meskipun koleksi kapsul itu adalah koleksi pengenalan jenamanya tetapi ia berkemungkinan akan dikomersialkan pada masa depan.

Jelasnya, sebaik sahaja koleksi kapsul itu disiapkan, dia mendapat maklum balas yang positif daripada penilai industri fesyen profesional.

REKAAN koleksi kapsul ketika dalam proses disiapkan.
REKAAN koleksi kapsul ketika dalam proses disiapkan.

"Penilai itu melihat gaya jalanan adalah sesuatu rekaan yang sudah biasa dan luas tetapi olahan dari segi mengangkat sesuatu tema bersandarkan kesedaran masih lagi kurang.

"Justeru, penilai fesyen melihat idea saya menginspirasikan isu pembalakan di dalam rekaan ini adalah sesuatu yang baik dan boleh memberi kesan," katanya.

Bercerita mengenai minatnya di dalam industri fesyen akui Ivy Cathrine, ibunya Julita Matorui adalah 'pencetus' hingga membawanya menyertai bidang itu.

Katanya, dia dibesarkan di Pitas dan ibunya adalah seorang tukang jahit di kampung. Sejak kanak-kanak lagi dia sudah melihat kegigihan ibunya mencari rezeki dengan menjadi tukang jahit.

"Apabila saya menamatkan pendidikan di sekolah menengah, ibu yang berikan galakkan untuk meneruskan legasinya sebagai tukang jahit dengan mengambil jurusan fesyen.

MELIHAT gaya jalanan dan tema kelestarian mampu memberi kesedaran kepada si pemakai.
MELIHAT gaya jalanan dan tema kelestarian mampu memberi kesedaran kepada si pemakai.

"Jadi, di dalam bidang fesyen ini, saya bukan sahaja belajar mengenai menjadi tukang jahit tetapi lebih daripada itu kerana seorang pereka fesyen bukan sahaja perlu mengetahui teknik penghasilan pakaian menerusi jahitan malah mencipta gaya dan strategi perniagaan," katanya anak kelahiran Pitas, Kota Marudu itu.

Jelasnya, sebagai pendatang baharu di dalam bidang fesyen pastinya ingin mencipta jenama yang kukuh di pasaran tempatan.

"Bermakna, saya perlu bekerja lebih keras bukan sahaja memberi tumpuan kepada kerja-kerja seni menghasilkan rekaan fesyen tetapi membina rangkaian yang baik dalam kalangan pemain industri itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 7:00 AM