Nor 'Asyikin Mat Hayin


Sentuhan kreatif wanita ini berjaya mentransformasikan rumah mampu milik Selangorku yang dimilikinya menjadi kediaman 'mewah.'

Gabungan dekorasi rumah moden 'mid-century' dengan pemilihan warna cat dan perabot yang tepat menjadikan rumah pangsapuri berkeluasan 750 kaki persegi ini luas.

Nur Jumaatul Hidayah Mohammad, 33, berkata, dia membuat perancangan yang teliti dalam pemilihan dan susun atur perabot supaya tidak menyempitkan ruang rumah.

"Sebab itu, saya memilih perabot yang penting sahaja untuk menata rias rumah seperti sofa, kabinet, televisyen dan meja makan.

"Untuk cat dalam rumah, saya banyak menggunakan tona warna natural iaitu putih dan coklat bagi mewujudkan pemandangan yang redup serta menghidupkan mood yang boleh menjadi terapi kepada kami sekeluarga," katanya.

Katanya, di bahagian lantai rumah pula dia memilih menggunakan lapisan lantai batu plastik komposit (SPC) yang bermotifkan permukaan kayu bagi menampakkan rumah rumah lebih elegan.

"Saya mula menduduki rumah pertama ini pada 2021 dan mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan dekorasi hiasan dalaman.

"Ketika mula masuk rumah ini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadinya ada beberapa kerja-kerja pengubahsuaian rumah tergendala," katanya.

MEMILIH meja makan kayu untuk dipadangkan dengan tema warna natural.
MEMILIH meja makan kayu untuk dipadangkan dengan tema warna natural.

Nur Jumaatul Hidayah berkata, disebabkan itu dia bersama suami mengambil pendekatan melakukan beberapa dekorasi rumah secara lakukan sendiri (DIY) iaitu panel dinding (wainscoting) dan 'slat wall.'

"Saya membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk dekorasi rumah termasuk membeli kelengkapan elektrik dan perabot baharu.

"Bahagian yang diberikan lebih penekanan ialah dapur dan ruang tamu. Ini kerana dapur adalah jantung rumah dan saya suka menghabiskan banyak masa di dapur.

"Saya turut memecahkan yard untuk ubah suai membesarkan ruang dapur dan mewujudkan dapur basah serta kering," katanya.

"Manakala ruang tamu adalah tempat saya sekeluarga berehat dan menjadi tumpuan pemandangan apabila masuk ke dalam rumah," katanya.

Menurutnya, menata hias rumah adalah hobinya dan turut melakukan perkara sama ketika mendiami rumah sewa selama empat tahun.

"Saya mendapat idea dekorosi rumah konsep moden 'mid-century' daripada Internet kerana tertarik dengan konsep itu yang boleh meluaskan rumah berkeluasan kecil.

DAPUR kering yang kemas.
DAPUR kering yang kemas.

"Selalunya saya terlebih dahulu mendapatkan pandangan suami apabila mendapat sesuatu idea," katanya.

Katanya lagi, untuk koleksi barangan dekorasi pula, dia suka membelinya di platform perdagangan dalam talian kerana banyak pilihan menarik dan harganya lebih murah.

"Saya mengemas rumah dua kali sehari iaitu pagi dan malam untuk memastikan keadaan rumah sentiasa kemas serta teratur.

"Pada masa sama saya turut menyediakan satu bilik khas yang menempatkan barangan permainan anak untuk bermain bagi mengelakkan rumah bersepah," katanya.

Nur Jumaatul Hidayah berkata, kemungkinan dalam tempoh lima tahun akan datang dia mungkin menukar konsep tata rias rumah lain untuk mewujudkan suasana baharu yang lebih menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 7:00 AM