Norlailee guna barang terpakai diperbaharui menerusi teknik DIY. FOTO Amran Hamid
Norlailee guna barang terpakai diperbaharui menerusi teknik DIY. FOTO Amran Hamid
Nurul Husna Mahmud


MEMILIKI kediaman idaman dengan tatarias konsep yang diingini antara senarai aset mesti dimiliki sehingga ada yang sanggup membuat pelaburan besar.

Ia antara cabaran cukup besar buat suri rumah, Norlailee Hamzah, 50, bersama suaminya, Mohd Fadzri Ismail, 53.

Cabaran bermula dengan episod projek rumahnya terbengkalai apabila pemaju melarikan diri dan diikuti tragedi projek pengubahsuaian rumah berlanjutan sehingga setahun kerana masalah kontraktor.

Namun itu tidak mematahkan hasratnya untuk mendiami rumah impian berkenaan dengan konsep hiasan dalaman yang diidamkan selama ini.

Menurut Norlailee, rumah teres kos sederhana yang dibeli pada 1997 itu bakal menjadi kediaman buat dia sekeluarga apabila suaminya bersara kelak.

“Ketika ini, rumah ini lebih kepada persinggahan saya atau ahli keluarga yang datang ke Kuala Kedah, Kedah. Biasanya kalau ada majlis atau perjumpaan keluarga, kami akan berkumpul di sini kerana ia lebih selesa.

“Berbanding kediaman kami sekarang iaitu kuarters Polis Alor Setar yang terletak di tengah bandar, rumah milik saya sekeluarga ini berada di persekitaran damai iaitu dalam kawasan kampung yang mempunyai sawah.

“Sebahagian perabot dan aksesori hiasan dari kuarters saya pindahkan sedikit demi sedikit ke rumah ini.

PENGGUNAAN warna putih membuatkan ruang makan lebih luas. FOTO Amran Hamid
PENGGUNAAN warna putih membuatkan ruang makan lebih luas. FOTO Amran Hamid

“Pendek kata, berbanding perabot atau aksesori baru, saya banyak menggunakan barang terpakai yang diperbaharui semula menerusi teknik lakukan sendiri (DIY).

“Tema hampir sama dengan tatarias kediaman kuarters iaitu gaya Inggeris tetapi kelainannya ialah di rumah keluarga ini saya kekalkan gaya sederhana ataupun konsep gaya Inggeris kontemporari atau lebih moden.

“Pilihan warna pula lebih menjurus kepada tema putih dan krim, ditambah sedikit dengan elemen coklat menerusi perabot kayu yang sedia ada,” katanya.

Dalam menyerlahkan konsep itu, Norlailee menggunakan langsir berwarna putih selain sarung kerusi di ruang tamu dan meja makan juga dengan warna yang sama.

“Kerja menghias kediaman ini saya lakukan berdasarkan pengamatan sendiri dan perkongsian tip dengan rakan di laman sosial yang mempunyai minat sama,” katanya.

Bagi menghasilkan perincian seperti aksesori hiasan sepadan dengan konsep ala Inggeris kontemporari yang turut menyajikan tema serba putih, kata Norlailee, kaki lilin, teko dan bekas hiasan diketengahkan.

“Jika bercerita berkenaan perincian, sebenarnya ada perabot lama seperti almari cermin yang saya minta bantuan suami untuk cat semula dengan warna putih, begitu juga aksesori seperti koleksi kaki lilin.

TIDAK lengkap tanpa aksesori ala Inggeris tersusun di ruang meja konsol. FOTO Amran Hamid
TIDAK lengkap tanpa aksesori ala Inggeris tersusun di ruang meja konsol. FOTO Amran Hamid

“Untuk kerja kraf seperti teko atau pasu hiasan, saya mendapat bantuan kenalan yang mahir dalam ‘seni pop’ untuk melukis dan menaik taraf aksesori hiasan sedia ada.

“Semua barangan hiasan berkenaan saya beli dari kedai barangan terpakai atau rakan di laman sosial. Ini jauh lebih murah selain satu kepuasan apabila dapat menghasilkan sesuatu yang baru daripada barang lama,” katanya.

Menyentuh tabiat menata rias secara DIY, ujar Norlailee, ia antara pilihan lebih ekonomi dalam menghasilkan dekorasi mengikut konsep diinginkan.

“Sebenarnya bagi memiliki dekorasi seperti sekarang, boleh dikatakan pengorbanan bukan sedikit, malah saya tunggu lebih 15 tahun untuk hias sedikit demi sedikit mengikut kemampuan.

“Rumah saya ini pernah terbengkalai lima tahun, sebaik siap terus disewakan hampir 10 tahun sehinggalah isu diserang anai-anai menyebabkan kerosakan teruk pada siling dan tingkap rumah.

“Ketika mengubah suai pula wujud konflik dengan kontraktor menyebabkan bajet diperuntukkan bertambah apabila perlu memperuntukkan lebih bajet untuk kos sampingan seperti pendawaian dan aksesori lain contohnya lampu.

 LANGSIR antara perincian menonjolkan konsep tatarias pilihan Norlailee. FOTO Amran Hamid
LANGSIR antara perincian menonjolkan konsep tatarias pilihan Norlailee. FOTO Amran Hamid

“Meskipun cita-cita saya agak besar terutama perabot dan perincian lain yang ingin diketengahkan, saya cuba mengurangkan perbelanjaan dengan kerja-kerja DIY,” katanya.

Berbanding rekaan asal rumahnya, kediamannya kini lebih selesa dengan ruang tamu tambahan selain dapur sudah diubah suai dan nampak luas.

Selain itu, kerja ubah suai kediaman itu turut menaik taraf siling biasa kepada ‘plaster’ siling yang mempunyai rekaan unik.

Antaranya siling ruang tamu baru bersama perincian kayu dilengkapi dua lampu candelier yang membuatkan ruang berkenaan kelihatan elegan dan sekata dengan konsep ala Inggeris kontemporari.

Malah lantai yang mengenakan jubin berbeza pada ruang tertentu termasuk bilik air dan dapur membuatkan kediaman berkenaan bukan saja tampak seperti kediaman baru, malah memberi kesan pencahayaan tambahan.

Ia disebabkan kedudukan rumah berkenaan di tengah-tengah deretan rumah lain, selain pembinaan bumbung tambahan membuatkan kediaman itu lebih gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 12:31 PM