Hafiz Ithnin


BEBERAPA minit menonton video yang dimuat naik wanita ini di media sosialnya tertanya mengundang rasa sebak penonton apabila si ibu menangis meluahkan rasa puas menatap hiasan dalaman yang sudah disiapkan.

Sebenarnya rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi yang dibina Fatin Farhana Abdul Rahman, 33, itu adalah hadiah untuk ibunya, Azwana Mokhtar.

Pada awal lagi, Azwana mengetahui rumah yang dibina anak sulungnya di Kampung Tersusun, Batu Gajah di Perak, tetapi tidak menyangka dekorasi dalamannya sungguh memukau dan menepati cita rasa.

Fatin Farhana yang menetap di Sydney, Australia ketika dihubungi penulis berkata, dia yang mula membina rumah itu sejak setahun lalu sudah memaklumkan kepada ibunya rumah baharu yang dibina itu adalah hadiah sebagai membalas jasa Azwana yang menjual rumah mereka demi membesarkan dia dan adik-beradik lain.

Jelasnya, ketika proses pembinaan, ibunya sudah mengetahui rumah itu dibina untuknya, tetapi dari segi konsep hiasan dalaman tidak dimaklumkan.

"Saya sudah lapan tahun menetap di Sydney bersama suami dan ketika berada di sini saya jatuh cinta dengan konsep hiasan farmhouse moden yang cukup popular di Australia.

"Jadi, sebelum proses pembinaan lagi saya memasang impian untuk mewujudkan konsep ini dalam rumah baharu milik ibu itu," katanya.

Katanya, konsep farmhouse moden menjadi tarikan kerana ia mempunyai ciri-ciri rumah keluarga klasik Eropah yang menggunakan warna semula jadi dan susun atur perabot yang ringkas serta mempunyai fungsi.

"Memandangkan berada di luar negara, saya menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman dan saya memaklumkan mengenai idea hiasan dalaman kepada mereka secara aplikasi sembang, WhatsApps sahaja.

MEJA makan kayu mempersembahkan lagi ilham konsep yang diinginkan.
MEJA makan kayu mempersembahkan lagi ilham konsep yang diinginkan.

"Saya tunjukkan contoh konsep hiasan dalaman itu kepada pereka hiasan dalaman. Kemudian pada peringkat awal pereka dalaman itu melakar pelan lukisan tiga dimensi (3D) supaya mudah untuk saya membuat penilaian," katanya.

Katanya, apabila sudah mempersetujui lukisan 3D itu, pereka hiasan dalaman hanya mengambil masa empat hari untuk menterjemahkan segala-galanya pada ruang dengan dekorasi unik.

"Dalam tempoh empat hari itu, saya tidak membenarkan ibu masuk rumah kerana dekorasi sudah siap dengan memberi alasan tidak mahu mengganggu proses pembinaan peringkat akhir.

"Sebenarnya saya tidak mahu ibu melihat proses hiasan dalaman itu kerana ingin memberi kejutan kepada dia," katanya.

Jelasnya, apabila rumah itu siap didekorasi, hasil yang diterjemahkan pereka hiasan dalaman secara realiti lebih daripada lukisan yang ditunjukkan dan ia amat berbaloi.

"Ketika ibu masuk dalam rumah, bukan sahaja dia terharu dan menitiskan air mata, tetapi saya juga sebak kerana hiasan dalaman yang diidamkan mampu direalisasikan pereka hiasan dalaman.

"Walaupun kami hanya berbincang dari peringkat awal hingga akhir menerusi WhatsApp, tetapi hasilnya cukup indah seperti saya membayangkan rumah berkonsep farmhouse moden di Australia," katanya.

GABUNGAN warna dan perabot yang menonjolkan konsep farmhouse moden.
GABUNGAN warna dan perabot yang menonjolkan konsep farmhouse moden.

Katanya, dia hanya mengupah pereka hiasan dalaman untuk memberi sentuhan kepada bahagian ruang tamu, ruang makan dan bilik utama dengan kos keseluruhan RM50,000.

"Kos berkenaan termasuk kerja memasang hiasan panel di dinding sebagai hiasan, perabot dan aksesori.

"Bagi saya amat berbaloi dengan kos yang dibelanjakan kerana ia meliputi tiga bahagian yang mempunyai perabot serta aksesori," katanya.

Jelasnya, rumah farmhouse moden banyak menggunakan warna semula jadi yang lembut seperti putih kerana ia mudah dipadankan dengan aksesori panel kayu yang dipasang sebagai titik fokal mencerminkan gaya klasik rumah di Eropah.

"Pereka hiasan dalaman juga memahami konsep berkenaan apabila mengadunkan warna semula jadi dalam rumah ini seperti putih, coklat dan warna kayu asli.

FATIN Farhana (kanan) dan ibu, Azwana.
FATIN Farhana (kanan) dan ibu, Azwana.

"Warna kayu asli itu ditonjolkan menerusi perabot kayu yang diletakkan seperti kerusi dan meja kopi serta meja makan. Elemen moden juga tidak dipinggirkan apabila terdapat sofa berona kelabu lembut yang dipadankan dengan kerusi tunggal kayu tunggal berkenaan," katanya.

Tambahnya, aksesori hiasan juga mempunyai elemen yang menonjolkan konsep berkenaan apabila terdapat bekas simpanan barang berunsurkan rotan dan para kayu di dinding.

"Bagi mengimbangkan lagi konsep rumah itu, pereka hiasan dalaman memasang langsir yang mempunyai unsur moden berona putih dan coklat. Ia menjadikan rumah itu begitu menarik.

"Paling tidak saya dapat lupakan apabila ibu kali pertama masuk terus berkata seperti berada dalam hotel dan tidak mahu keluar rumah ini apabila melihat hiasan dalaman yang menjadi impian saya sebagai hadiah untuknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 7:00 AM