KEDIAMAN yang selesa untuk seisi keluarga.
KEDIAMAN yang selesa untuk seisi keluarga.
Nurul Husna Mahmud


BAHANG kemeriahan perayaan Aidilfitri kali ini dijangka luar daripada kebiasaan selepas dua tahun terpaksa diraikan secara tertutup dan sederhana akibat pandemik Covid-19.

Lebih bermakna apabila adat kunjung-mengunjung sudah boleh kembali dilakukan keluarga, saudara mara atau sahabat handai.

Sudah menjadi rutin atau adat bagi 'tuan rumah' setiap kali tiba musim perayaan, mula sibuk melakukan pelbagai persiapan terutama dalam menata rias kediaman.

Percaya atau tidak, musim perayaan adalah detik bagi kebanyakan orang untuk melakukan pengubahsuaian pada dekorasi atau hiasan dalaman rumah supaya dapat merasai suasana itu.

Sebut saja mengenai konsep atau idea selalu kita fikirkan ialah dekorasi yang sepadan dengan suasana perayaan selain perlu ada elemen 'dramatik' iaitu penggunaan aksesori bertemakan raya pada setiap ruang atau penggunaan tona warna terang dalam suasana perayaan di kediaman masing-masing.

Selain itu ada juga yang gemar memilih konsep sendondon baik pilihan baju untuk seisi keluarga mahu pun barangan hiasan dalaman rumah agar tampak harmoni di pagi raya.

Namun bagi seorang pereka hiasan dalaman, Nur Ezdiani, 37, trend berkenaan tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa dan boleh dikatakan sudah 'lapuk' bagi idea dalam dekorasi raya untuk tahun ini.

Katanya, keadaan itu juga boleh dilihat sebagai satu contoh kesilapan klasik yang kerap dilakukan kebanyakan pemilik kediaman dalam menata rias rumah untuk raya.

"Memang sudah menjadi kelaziman setiap kali raya, pemilik kediaman akan menata rias atau mengubahsuai ruang dalam rumah. Saya pasti semua ada nostalgia pernah melihat ahli keluarga seperti ibu atau nenek mereka menukar langsir, menukar sarung kusyen mahupun perabot apabila mendekati hari raya.

 SUSUN atur antara proses penting untuk ruang tampak menarik dan kemas.
SUSUN atur antara proses penting untuk ruang tampak menarik dan kemas.

"Apabila pemilihan tema atau konsep, kebanyakan orang memikirkan mahu tampil sendondon atau senada pada warna pilihan termasuklah dalam barangan dekorasi

"Tanggapan itu salah kerana dari segi pilihan warna, terdapat kaedah tertentu iaitu perlu merujuk palet warna seperti peranan roda warna yang menyenaraikan warna sesuai untuk digandingkan.

"Bagi kami pereka hiasan dalaman, pemilihan warna perlulah mengikut nisbah tiga warna utama digabungkan dengan dua warna neutral agar kediaman tampak lebih harmoni dan tidak serabut," katanya.

Tambah Nur Ezdiani, untuk warna tema raya juga sebenarnya ada 'trend' tertentu berdasarkan barangan dan juga aksesori yang banyak ditawarkan dalam pasaran.

"Untuk tahun ini saya berpendapat warna hijau zamrud atau lebih dikenali dengan 'emerald green' tengah 'in' dan popular. Ia berdasarkan pada tona warna perabot dan aksesori ditawarkan pembekal atau penjual barangan hiasan rumah.

BALANG kaca lutsinar antara elemen ringkas tetapi boleh memberi efek pada ruang makan.
BALANG kaca lutsinar antara elemen ringkas tetapi boleh memberi efek pada ruang makan.

"Contoh mudahnya ialah warna pada barangan seramik iaitu pinggan mangkuk untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang beraya," katanya.

Kata Nur Ezdiani, selain warna hijau terbabit, aksesori dekorasi yang tampil dengan material jenis rotan juga dilihat kian popular dalam perincian tatarias sudut tertentu.

"Cita rasa atau pilihan gaya yang popular ketika ini ialah ramai yang terarah kepada konsep 'mid-century' iaitu trend rekaan dari zaman 70-an yang mana penggunaan material jenis rotan pada perincian aksesori penting.

"Contohnya penggunaan dulang sebagai aksesori penting membantu fokus terhadap meja hidangan atau kopi dengan perincian rotan antara popular ketika ini," katanya.

Pakar itu turut menasihati penggunaan aksesori secara minimum

lebih memberi efek kepada ruang yang ingin ditonjolkan berbanding sarat dengan hiasan.

"Apabila membuat dekorasi pada ruang meja makan dan ruang tamu, perlu ada titik fokus pada kedua-dua ruang terbabit. Contohnya di ruang makan titik fokus ada meja makan dan dengan menempatkan pasu atau balang kuih di tengah boleh menjadikan ia tumpuan utama terutama dari segi visual.

"Satu lagi tip penting bagi pemilik kediaman terutama membabitkan ruang menempatkan hidangan atau untuk menjamu tetamu, elak penuhkan meja dengan pelbagai hidangan, peralatan saji termasuklah kutleri.

"Jika terlalu sarat, selendang meja (table runner) atau alas meja sepatutnya menjadi hiasan seperti aksesori lain seperti pasu bunga juga boleh 'tenggelam.'

MEJA kopi juga perlu ada susunan tertentu membuatkan ia sebagai tumpuan.
MEJA kopi juga perlu ada susunan tertentu membuatkan ia sebagai tumpuan.

"Begitu juga dengan balang kuih raya perlu ada jumlah yang sesuai selain menggunakan jenis lutsinar membolehkan kuih raya warna-warni lebih jelas kelihatan," katanya.

Beliau turut menyarankan supaya pemilik kediaman juga melakukan kajian dan tinjauan bagi mendapatkan idea serta konsep bersesuain dengan cita rasa selain gaya hidup mereka.

"Setiap pembelian aksesori atau perabot bagi tata hias ruang sempena dekorasi raya perlu sesuai dengan keluasan ruang dan fungsinya. Pengalaman saya dalam bidang ini selama 13 tahun melihat praktikaliti satu aspek sangat penting dalam pemilihan perabot dan aksesori dekorasi.

"Nilai estetik jatuh nombor dua kerana fungsi dan kesesuaian untuk diletakkan dengan lain perabot atau aksesori pada satu ruang berkenaan lebih penting.

"Perlu penelitian dan tinjauan termasuklah melakukan pembelian barang berkenaan di kedai berhampiran kerana ia lebih mudah.

"Dalam penelitian itu juga pemilik yang berhasrat mengubah atau menghias rumah mereka boleh buat senarai mengikut keutamaan dan keperluan berdasarkan bajet masing-masing. Ini juga mengelak pembaziran," katanya.

Mengenai idea atau rujukan bagi mendapatkan hasil dekorasi baik, beliau sering merujuk dan melakukan penelitian sama ada di Internet selain kerap melakukan perbincangan dengan suami, Mohd Hafizsham Rohaizad yang turut memiliki kepakaran sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 7:00 AM