Dekorasi rumah angkat nilai seni hasil sentuhan artis tempatan
Dekorasi rumah angkat nilai seni hasil sentuhan artis tempatan
Hafiz Ithnin


TERNYATA apabila seseorang itu mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara ia mampu mengubah segala hal yang berkaitan dengan diri secara peribadi.

Situasi itu yang berlaku kepada lelaki berusia 36 tahun ini yang mempunyai minat mendalam terhadap karya seni terutama membabitkan lukisan dan porselin seramik yang dilihatnya mempunyai nilai eksklusif tersendiri.

Bersandarkan kepada minat itu, Mohd Sharul Nizam Usof mendekorasi rumahnya bak sebuah galeri peribadi.

Menjawab pertanyaan penulis mengenai konsep dekorasi rumahnya, Mohd Sharul Nizam berkata, dia tidak mempunyai konsep yang khusus, tetapi ingin mengangkat nilai seni dimiliki dalam kediaman peribadinya dan keluarga.

"Dalam dekorasi rumah ini, saya melihat secara peribadi tidak perlu terikat dengan mana-mana konsep kerana ia turut membabitkan kerja seni.

"Saya tidak melihat trend arus perdana yang banyak dipaparkan di media sosial khususnya menjadi pilihan dalam dekorasi rumah kerana matlamat asal saya adalah untuk menghargai karya seni tempatan yang dimiliki," katanya.

Katanya, dia mula mendekorasi rumahnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada 2020 dan menjadi pengumpul koleksi karya itu juga baharu dalam tempoh dua tahun.

"Ketika PKP yang pertama ramai antara kita yang mencari sesuatu untuk mengisi waktu di rumah dan saya memilih untuk menghias kediaman ini bersandarkan lukisan peribadi yang dimiliki.

PELBAGAI jenis kerusi di meja makan.
PELBAGAI jenis kerusi di meja makan.

"Sebelum itu, rumah saya tidak seperti hari ini yang penuh pelbagai jenis lukisan, perabot dan aksesori seni hasil sentuhan artis tempatan," katanya.

Rumah dalam segmen kondominium itu terletak di Klang, Selangor dan mempunyai keluasan 1,260 kaki persegi selain dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Jelasnya, dari segi kerja mendekorasi rumah, dia tidak menggunakan khidmat profesional sebagai perunding, tetapi memilih untuk melakukan sendiri (DIY).

MEMPUNYAI kesinambungan rona yang serasi antara perabot dan aksesori.
MEMPUNYAI kesinambungan rona yang serasi antara perabot dan aksesori.

Antara bahagian yang dilakukan secara DIY ialah kemasan lantai yang ditukar kepada vinly berwarna coklat yang sebelum ini jenis seramik berona putih.

"Saya melihat kemasan lantai berwarna kayu ingin lebih menarik untuk dipadankan dengan rona dinding yang didominasi warna putih.

"Pemilihan warna putih dinding penting bagi saya kerana ia mudah untuk disuaikan apabila saya menggantung pelbagai jenis karya lukisan, aksesori dan perabot," katanya.

KEMASAN dinding ‘batten wall’ yang dilakukan secara DIY.
KEMASAN dinding ‘batten wall’ yang dilakukan secara DIY.

Selain itu, katanya, pemilihan rona putih juga membantu menjadikan rumahnya tampak lebih luas meskipun mempunyai pelbagai jenis lukisan.

"Bagi saya, perkara paling penting supaya dekorasi bersandarkan karya seni lukisan dan aksesori ini tampak menarik ialah dari segi susunannya.

"Apabila kita boleh menyusun dengan baik, ia tidak akan kelihatan berserabut. Malah, setiap lukisan itu juga dari seni rona dan rona bingkai perlu mempunyai kesinambungan yang menarik," katanya.

PEMILIHAN rona hitam bagi kemasan lampu hiasan di siling menjadikan serasi dengan gabungan rona rumah.
PEMILIHAN rona hitam bagi kemasan lampu hiasan di siling menjadikan serasi dengan gabungan rona rumah.

Setakat ini, Mohd Sharul Nizam mempunyai lebih 40 lukisan daripada artis tempatan dan majoriti adalah berunsur abstrak.

Katanya, dekorasi rumah berunsurkan karya seni itu juga adalah bagi menghargai artis tempatan yang sebenarnya mempunyai bakat yang cukup besar.

"Saya tidak mempunyai latar belakang seni, tetapi mempunyai minat yang mendalam dalam karya seni. Jadi, saya melihat kita mempunyai karyawan yang cukup berbakat dan luar biasa sentuhannya dalam menonjolkan penceritaan menerusi lukisan.

"Malah saya merasakan, ia satu tanggungjawab sebagai peminat seni itu untuk mempamerkan sentuhan seni yang dibeli daripada artis tempatan dalam kediaman peribadi. Setiap lukisan itu mempunyai maksud tersendiri," katanya.

Dalam tempoh dua tahun ini, Mohd Sharul Nizam lebih gemar memiliki karya lukisan yang mempunyai warna yang menonjol kerana ia dilihat sebagai terapi kerana mampu memperlihatkan sesuatu yang ceria.

"Mulai tahun ini, saya akan lebih bersifat 'monokrom' kerana ia mempunyai nilai peribadi yang tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 7:00 AM