Hafiz Ithnin


TERNYATA apabila dekorasi rumah yang diidamkan, tapi tidak dapat direalisasikan sudah semestinya menjadi

'mimpi ngeri' bagi sesetengah individu.

Apatah lagi, tanggungjawab itu diberikan kepada golongan yang dirasakan mampu merealisasikannya, tetapi tidak kena dengan cita rasa selera peribadi pemilik rumah.

Perkara itu yang dihadapi pasangan suami isteri, Anizan Baba, 49, dan Norfaddlita Baharrom, 41, apabila pereka hiasan dalaman pertama yang diupah mereka tidak menepati selera peribadi seperti yang diharapkan untuk menyiapkan dekorasi rumah semi D bersaiz kira-kira 4,000 kaki persegi itu.

Akhirnya pasangan itu melantik pereka dalaman kedua yang mempunyai cara kerja lebih profesional dan mampu menzahirkan dekorasi yang diidamkan.

Norfaddlita berkata, rumah mereka di Jempol, Negeri Sembilan itu berusia hampir 20 tahun yang memerlukan suntikan nafas baharu.

"Jadi, saya dan suami memerlukan satu konsep hiasan dalaman yang boleh menggabungkan antara konsep 'modern luxury' dan 'bold masculin'.

"Ini kerana saya gemarkan aura dalam rumah yang tampil mewah dan perlu diserasikan dengan cita rasa suami yang menginginkan rumah tampak lebih maskulin. Jadi, ia memerlukan pereka hiasan yang bijak menemukan antara dua cita rasa itu," katanya.

KONSEP maskulin yang ringkas di ruang tamu kedua.
KONSEP maskulin yang ringkas di ruang tamu kedua.

Ternyata pilihan pereka dalaman profesional kedua pasangan itu tidak menghampakan apabila semua ruang yang diberi tanggungjawab untuk mengangkat tema itu mampu direalisasikan.

Dalam rumah itu mempunyai sepuluh ruang merangkumi dua ruang tamu, tiga bilik tidur, tiga bilik air, bilik gimnasium dan ruang mesyuarat.

Perkara ini kerana rumah itu menjadi pejabat kedua bagi Anizan yang mempunyai kakitangan dan biasanya setiap pagi dia bermesyuarat di rumah itu dahulu sebelum ke pejabat utama.

Justeru, pemilihan konsep 'bold masculin' yang diinginkan Anizan untuk rumahnya terutama membabitkan ruang kerja amat bertepatan kerana ia perlu mencerminkan suasana yang serius.

Antara yang diterapkan pereka hiasan dalaman, Inspirasi Eladeko ialah ruang tamu kedua, bilik mesyuarat dan gimnasium bermain dengan rona putih, hitam dan coklat gelap.

Perabot utama iaitu set sofa yang berwarna coklat kulit begitu padan apabila berada di ruang kerja berkenaan kerana ia menonjolkan identiti si pemiliknya seorang lelaki yang maskulin.

Bagi tidak menjadikan ruang itu bersifat monokrom secara total, pereka dalaman itu hanya memilih satu dinding berona hitam yang menjadi rona fokal.

BEBERAPA aksesori dan perabot yang mempunyai elemen emas menjadikan ruang kelihatan mewah.
BEBERAPA aksesori dan perabot yang mempunyai elemen emas menjadikan ruang kelihatan mewah.

Rona hitam tunggal itu juga sebenarnya menjadi kesinambungan kepada rona ruang tamu utama, gimnasium dan bilik mesyuarat.

Bagi mengadunkan rona yang lebih seimbang, pereka dalaman memilih sofa, permaidani langsir yang berona kelabu di dalam ruang berkenaan.

Apabila berada di ruang tamu utama juga dapat dirasai aura kemewahan yang diinginkan Norfaddlita kerana pereka dalaman menyuntik elemen sedikit rona emas pada beberapa perabot yang menonjol seperti meja kopi dan lampu hiasan dinding.

Apatah lagi, limpahan lampu jingga yang tidak terlalu garang menjadikan ruang utama itu mampu menonjolkan aura eksklusifnya bersama beberapa aksesori yang begitu minimalis.

Bercerita mengenai rumah itu yang tidak mempunyai perabot yang sarat, Norfaddlita berkata, perkara itu amat penting kerana dia berkerusi roda.

"Jadi, antara elemen yang perlu diambil tahu oleh pereka hiasan dalaman ialah susun atur yang memudahkan pergerakan saya dalam rumah.

"Pada masa sama ia mampu merealisasikan impian kami untuk menggabungkan kedua-dua konsep ini tanpa kelihatan pelik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 7:00 AM