RINGKAS dan menonjolkan karakter pemilik yang gemarkan kemodenan dalam hiasan dalaman.
RINGKAS dan menonjolkan karakter pemilik yang gemarkan kemodenan dalam hiasan dalaman.
Hafiz Ithnin


MELANGKAH masuk rumah berkeluasan 1,400 kaki persegi di Cyberjaya ini ternyata memberi gambaran kepada penulis bahawa pemiliknya seorang yang gemarkan sesuatu yang tampak kemas, santai dan lebih penting mengekalkan tahap profesional.

Bagi pemiliknya, Zamir Hamdy Hamdan rumah seharusnya mempunyai jiwa dan keserasian dengan penghuni.

"Saya tidak sukakan sesuatu yang serabut selepas pulang dari tempat kerja. Ia perlu selesa dan tenang. Biar rumah itu adalah 'syurga' buat kita," katanya.

Zamir berkata, dia membeli rumah itu sejak 2018 dan mendapat kunci pada Oktober 2019. Rumah itu mempunyai tiga bilik tidur dan tiga bilik air.

Penulis agak tertarik dengan reka bentuk rumah itu kerana ia tampak begitu luas meskipun berstatus strata. Apatah lagi, reka bentuknya banyak bermain dengan ruang.

BILIK tamu yang mempunyai aura ketenangan.
BILIK tamu yang mempunyai aura ketenangan.

Jika bagi rumah strata yang lain balkoni terletak berhampiran ruang tamu, tetapi tidak pada rumah ini kerana ia berada di luar bilik tidur.

Zamir berkata, sebelum menghias rumah itu dia sudah 'menjengah' beberapa hasil tangan pereka hiasan dalaman kerana inginkan rekaan yang benar-benar dekat dengan jiwanya.

Katanya, terdapat lapan syarikat hiasan dalaman yang ditinjau dan lapan kontraktor. Semuanya mempunyai kekuatan masing-masing. Namun lebih penting pastinya sesuai dengan wang dalam kocek.

"Menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman profesional lebih mudah kerana mereka yang akan menyusun atur dan memastikan penataan diterapkan mempunyai fungsi tersendiri," katanya.

Pemuda dari Bangi, Selangor itu turut menambah, syarikat yang dipilihnya bagi menghias dalaman rumah mempunyai tempat tersendiri dan harga yang ditawarkan juga s

esuai dengan bajet.

Katanya, dia menggunakan khidmat profesional itu hanya untuk ruang tamu dan dua bilik, masing-masing bilik utama serta bilik tetamu.

WARNA kayu meja solek yang serasi dengan padanan sekitarnya.
WARNA kayu meja solek yang serasi dengan padanan sekitarnya.

"Apabila berjumpa syarikat berkenaan saya maklumkan inginkan rumah kelihatan eksklusif dan tenang. Jadi mereka menawarkan konsep bermain rona alam iaitu putih, coklat dan biru.

"Perabot juga tidak dicampuradukkan dengan tema klasik atau tradisional. Semuanya lebih kontemporari. Malah, kertas dinding juga bermain dengan hiasan garisan grid bagi menonjolkan sesuatu yang tampak lebih kreatif berbanding hanya dibiarkan polos," katanya.

Penulis sendiri begitu tertarik dengan hiasan dinding yang tidak kelihatan seperti kertas dinding dan ia seolah-olah menggunakan panel kayu.

Malah, di ruang makan, selain candelier berkonsepkan industri dan kertas hiasan pula tampil dengan rona coklat. Ternyata ia memberi kelainan dan mampu menjadi titik fokal apabila berada di ruang santapan itu.

Zamir juga tidak mengubah hiasan di lantai. Dibiarkan sahaja jubin putih di ruang utama dan lantai kayu vinil seperti disiapkan pemaju.

BALKONI bertemakan lestari terletak di luar bilik utama.
BALKONI bertemakan lestari terletak di luar bilik utama.

Alasannya, hiasan lantai yang disediakan pemaju sudah cukup serasi diadunkan dengan hiasan dalaman lain.

"Paling penting penggunaan jubin, lebih mudah untuk dibersihkan di ruang utama dan dapur terbuka. Selain itu, saya juga bimbang sekiranya mudah rosak kerana terkena air," katanya.

Bagi Zamir, perkara lebih utama dalam menghias dalaman rumah meskipun menggunakan khidmat profesional, pastikan ia sesuai dengan kehendak peribadi.

"Kita ada idea sendiri begitu juga dengan syarikat juruhias dalaman. Jadi, kita perlu adunkan kedua-dua idea supaya sesuai dengan kehendak kita sebagai pemilik," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 7:00 AM