RUANG tamu ringkas yang menggabungkan rona semula jadi.
RUANG tamu ringkas yang menggabungkan rona semula jadi.
Hafiz Ithnin


PASANGAN suami isteri, Muhaimin Anuar dan Bunga Ayu Widhiantika masing-masing berusia 35 tahun ini mempunyai dua cita rasa rona rumah berbeza.

Muhaimin seorang yang gemarkan rona tampak maskulin. Jadi, warna hitam dan kelabu menjadi pilihannya. Manakala Bunga pula lebih cenderung kepada rona rumah yang lebih tampak semula jadi seperti warna kayu dan putih.

Kedua-duanya juga melihat keindahan rumah bukan sahaja perlu penyatuan dan keseimbangan dalam dua cita rasa berbeza, tetapi perabot yang dipilih juga perlu mempunyai nada yang seimbang.

"Kami melihat, bagi mengindahkan rumah ini memerlukan kepakaran, jadi memilih pereka hiasan dalaman sesuai adalah langkah tepat.

"Bagi saya tiada istilah demi keselesaan dan ia boleh dilakukan mengikut kemampuan kita sendiri," kata Muhaimin.

Ditanya mengenai inspirasi hiasan dalaman rumah pertama yang baharu sahaja dimiliki pada Jun tahun lalu itu katanya, dia dan isteri menyukai sesuatu yang ringkas dan tampak moden.

Katanya, elemen ringkas yang ingin diterapkan pada rumahnya juga perlu mempunyai ciri-ciri praktikal dan mesra kanak-kanak.

"Saya dan isteri mempunyai latar belakang kerjaya dalam bidang teknologi maklumat. Ada kalanya kami bekerja dari rumah. Jadi, persekitaran rumah ini perlu turut selesa untuk kami bekerja. Disebabkan itu, ada ruang kerja dalam rumah kami ini.

"Selain itu, kami juga amat mementingkan hiasan dalaman mesra kanak-kanak kerana kami mempunyai dua anak yang masih kecil. Jadi, amat perlu persekitaran yang ringkas dan hiasan tidak berbahaya untuk anak kami," katanya.

Muhaimin berkata, dia dan isteri banyak merujuk media sosial dan mengunjungi ekspo jualan rumah bagi mendapatkan idea rekaan hiasan dalaman sebelum menyerahkan kepada pereka hiasan dalaman profesional.

"Apabila banyak melihat reka hiasan dalaman yang menjadi inspirasi kami, menetapkan masa untuk melihat pula karya daripada pereka hiasan dalaman untuk meninjau kemampuan mereka bagi menzahirkan idea awal kami.

"Sebenarnya memilih pereka hiasan dalaman bukan perkara mudah untuk kami menilai kerja kreatif mereka, malah hingga membabitkan tiga pereka hiasan dalaman.

"Akhirnya pereka dalaman ketiga sesuai dengan idea kami dan menawarkan harga yang selesa untuk poket peribadi," katanya.

Katanya, apabila selesai memilih pereka hiasan ketiga, dia dan isteri hanya memantau kerja yang dilakukan.

"Bagi saya mudah menghias rumah apabila menggunakan pereka hiasan dalaman kerana mereka ini mempunyai pengalaman dan tahu menterjemahkan impian pelanggan.

"Seperti saya dan isteri agak bingung untuk menyatukan antara rona maskulin dan semula jadi. Pada masa sama, kami juga perlu memastikan perabot dan susunan itu tepat supaya tidak kelihatan canggung apabila siap kelak," katanya.

RUANG mekap di bilik tidur utama.
RUANG mekap di bilik tidur utama.

Muhaimin berkata, buat masa ini hanya empat ruang itu ialah bilik tidur utama, ruang makan, ruang tamu dan ruang keluarga menerima sentuhan pereka hiasan dalaman.

"Ruang ini sering digunakan dan paling mendapat perhatian.

"Bagi saya, rekaan hiasan dalaman ini adalah satu projek berterusan.

"Selain itu, ia juga membabitkan kos. Tiada masalah untuk melakukannya secara berperingkat. Jadi, kami laksanakan dahulu di ruang yang sentiasa menjadi perhatian," katanya.

Katanya, empat ruang itu mengambil masa kurang sebulan untuk disiapkan pereka hiasan dalaman yang bukan sahaja menjadi perunding, malah memilih warna dan perabot yang sesuai untuk diletakkan dalam rumahnya.

"Beberapa warna utama menjadi pilihan iaitu kelabu, hitam, warna kayu dan putih di setiap ruang rumah ini. Kebijaksanaan pereka hiasan dalaman adalah amat penting untuk menzahirkan kesinambungan.

"Apabila ia siap sepenuhnya, kami amat berpuas hati kerana pereka hiasan dalaman kami bukan sahaja berjaya mengharmonikan rona, malah memilih perabot dan aksesori yang menepati dengan cita rasa kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 7:01 AM