PERABOT berciri rotan menjadi pilihan.
PERABOT berciri rotan menjadi pilihan.
Hafiz Ithnin


Kediaman dua tingkat empat bilik tidur itu sememangnya begitu menenangkan sebaik sahaja penulis melangkah masuk.

Apatah lagi, terdapat elemen rotan yang seakan-akan menjadi titik fokal buat tetamu apabila berada di dalam ruang tamu kediaman berkenaan.

Sebenarnya, kediaman itu menggabungkan dua konsep hiasan dalaman iaitu 'japandi' dan 'wabi sabi' yang begitu sinonim dengan kediaman negara matahari terbit.

'Japandi' adalah konsep hiasan dalaman yang amat mengutamakan kekemasan garis, fungsi dan ringkas. Manakala 'wabi sabi' pula adalah satu bentuk hiasan dalaman mengetengahkan sesuatu yang tidak 'sempurna,' tidak kekal atau tidak lengkap, namun ia boleh menjadi sesuatu yang begitu indah apabila bijak dalam tata hiasnya.

Pemilik kediaman itu, pasangan suami isteri, Mohd Farid Yahaya, 39, dan Nor Amira Ilyana Yeop, 34, sebenarnya mengambil masa kira-kira setahun mencari inspirasi konsep yang sesuai untuk diterapkan di dalam kediaman baharu mereka.

Kata Nor Amira Ilyana, mereka baharu sahaja mendapat kunci kediaman yang terletak di Bandar Enstek, Sepang, Selangor itu pada September tahun lalu.

"Sebelum mendapat kunci rumah lagi saya dan suami sudah mula mencari inspirasi untuk kediaman kami ini terutama di media sosial.

"Jadi saya sebenarnya amat tertarik dengan konsep perabot rotan kerana ia dilihat mempunyai keunikan tersendiri dan bersifat malar segar. Namun, kami tidak mempunyai kreativiti untuk menata rias. Jadi, akhirnya mengupah pereka dalaman profesional," katanya.

RUANG makan mempunyai elemen semulajadi yang menonjol.
RUANG makan mempunyai elemen semulajadi yang menonjol.

CERMIN bulat yang besar di laluan masuk yang menarik perhatian.
CERMIN bulat yang besar di laluan masuk yang menarik perhatian.

Katanya, apabila berjumpa dengan pereka dalaman itu, mereka hanya memaklumkan mengenai kecintaan terhadap perabot rotan.

"Sebaik sahaja kami memaklumkan mengenai jenis perabot yang digemari, terus pereka dalaman itu menjelaskan mengenai konsep gabungan antara 'japandi' dan 'wabi sabi.'

"Apabila melihat lukisan tiga dimensi yang ditunjukkan sebelum kerja menata rias itu dilakukan, kami sememangnya tertarik dan meneruskan dengan idea untuk mengangkat gabungan dua konsep hiasan dalaman itu," katanya.

Jelasnya, dia mengupah pereka dalaman bagi menghias ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur utama dengan kos perbelanjaan keseluruhan sekitar RM75,000. Manakala, dekorasi ruang dapur pula dilakukan pereka dalaman lain.

"Pada mulanya saya mengupah pereka hiasan untuk ruang dapur tetapi kerja-kerja yang dilakukan mengambil masa yang lama. Jadi, saya mengupah pereka dalaman berbeza bagi tiga ruang yang lain iaitu ruang tamu, makan dan bilik tidur utama.

"Namun, pereka dalaman saya yang kedua itu masih mampu menggabungkan keserasian antara rona dapur dan tiga ruang yang lain," katanya.

Rona yang dipilih pula ialah kuning air yang lembut, warna kayu asli, kelabu, putih dan sedikit hitam.

"Warna-warna lembut di dalam kediaman saya ini sebenarnya selari dengan kedua-dua konsep berkenaan yang sebenarnya mengutamakan kepada kekemasan dan keindahan.

BILIK tidur utama terasa tenang sebaik berada di dalamnya.
BILIK tidur utama terasa tenang sebaik berada di dalamnya.

KEDIAMAN Amira dan Mohd Farid sebelum didekorasi.
KEDIAMAN Amira dan Mohd Farid sebelum didekorasi.

"Dari segi perabot memang jenis rotan menjadi titik fokal kerana ia mencerminkan keaslian yang sebenarnya selari dengan konsep 'japandi," katanya.

Jelasnya lagi, dari segi 'wabi sabi' pula, pereka dalaman meletakkan sedikit sahaja elemen di dalam ruang tamu iaitu sofa tiga tempat duduk yang tidak mempunyai bentuk yang selari dan tiga lampu gantung siling yang turut tidak mempunyai ciri-ciri selari.

Tambahnya lagi, antara perkara yang diberi penekanan dalam menghias ruang kediaman mereka adalah keselamatan untuk anak-anaknya yang berusia antara empat hingga lapan tahun.

"Kalau dilihat di dalam ruang yang dihias memang tidak sarat dengan perabot kerana saya dan suami amat mementingkan keselesaan anak-anak untuk bergerak dengan selamat di dalam rumah.

"Malah, reka bentuk perabot juga tidak ada yang berbucu tajam demi keselamatan anak-anak yang sememangnya ketika ini dalam usia lasak," katanya.

Mengupas mengenai konsep dapurnya yang berona hijau pula katanya, dia sengaja memilih kabinet berona itu kerana pemandangan luar serba kehijauan menjadikan terdapat kesinambungan warna di dalam dan di luar rumah apabila dia membuka tingkap dapur.

Katanya, meskipun menggunakan khidmat pereka dalaman profesional, sebagai pemilik mereka juga perlu menggabungkan dengan cita rasa peribadi.

"Sebagai pemilik saya perlu memastikan pereka dalaman ini mampu menzahirkan kehendak kami sekeluarga terutama rasa selesa berada di dalam rumah sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 7:01 AM