KABINET televisyen yang kemas dan mempunyai kesinambungan rona dengan aspek di ruang utama.
KABINET televisyen yang kemas dan mempunyai kesinambungan rona dengan aspek di ruang utama.
Hafiz Ithnin


RUMAH setingkat empat bilik tidur dua bilik air berkeluasan 2,400 kaki persegi ini ternyata mempunyai aura tersendiri sebaik sahaja penulis melangkah masuk ke dalamnya.

Begitu kemas dan kelihatan amat tenang kerana warna lembut yang dipadankan di dalamnya hakikatnya mencipta sudut pandangan berbeza.

Ternyata imiginasi terpendam untuk mendapatkan kediaman yang mereka inginkan pasangan suami isteri, Mohamad Firdhaus Abu Mansor dan Siti Aminah Azman Nor ini menjadi kenyataan selepas membeli kediaman itu sejak 2016 tetapi tidak didiami.

Mohamad Firdhaus berkata, mereka mula bercadang mendiami kediaman itu pada 2022 dan mula mencari idea mendekorasi kediaman peribadi dengan melihat pelbagai rujukan antaranya di media sosial.

Isterinya, Siti Aminah banyak membuat carian di media sosial dan akhirnya mereka tertarik dengan kediaman yang mempunyai konsep farm house yang begitu sinonim dengan negara luar.

"Apabila taip saja rekaan farm house terdapat banyak rumah-rumah dari luar negara yang memaparkan dekorasi peribadi masing-masing. Sebagai seorang yang tidak mempunyai latar belakang rekaan hiasan dalaman pastinya agak serabut.

"Maka, saya dan isteri bercadang untuk mendapatkan khidmat pereka dalaman profesional untuk merias kediaman kami dan dalam masa dua minggu sahaja imiginasi kediaman yang diinginkan menjadi kenyataan," katanya.

Jelasnya, dia memaklumkan kepada pereka dalaman profesional dan menunjukkan foto yang dilihat di media sosial mengenai konsep kediaman yang diinginkan dan paling utama ialah kediaman itu perlu kelihatan ringkas dan tenang.

"Warna memainkan peranan penting dan konsep farm house ini juga bermain dengan warna lembut semula jadi seperti putih, coklat, krim dan kelabu. Apabila warna-warna ini dipadankan dengan betul ia akan tampak mempunyai kesinambungan yang menarik.

RUANG makan yang mempunyai kabinet menarik sekali gus menjadi hiasan dinding.
RUANG makan yang mempunyai kabinet menarik sekali gus menjadi hiasan dinding.

"Selain itu, rona lembut ini juga mampu memberi kesan luas dan ketenangan apabila berada di dalamnya. Apatah lagi dengan penggunaan lampu limpah yang tidak begitu terang menjadikan kesan mewah di dalam kediaman ini," katanya.

Jelasnya, khidmat pereka profesional itu hanya membabitkan beberapa ruang iaitu dapur, ruang tamu dan bilik bilik utama sahaja kerana ia adalah ruang tumpuan bagi mereka dan tetamu.

Katanya, di ruang tamu tidak diletakkan begitu banyak perabot memandangkan ia bersambung dengan ruang makan.

Jika terlalu banyak perabot dan aksesori, pasti kedua-dua ruang itu akan tampak serabut.

SILING dapur yang mempunyai faux beam.
SILING dapur yang mempunyai faux beam.

"Di ruang tamu kami hanya mempunyai satu sofa tiga tempat duduk, satu sofa tunggal dan dua kerusi tunggal rotan serta satu meja kopi yang kecil. Bagi saya idea yang digarapkan pereka hiasan dalaman profesional ini amat tepat dengan keinginan kami.

"Selain itu, di ruang makan pula hanya terdapat satu meja makan dan enam kerusi rotan bagi diadunkan dengan konsep dua kerusi rotan di ruang tamu supaya tampak kesinambungan konsep pada perabot di dalam ruang yang sama," katanya.

Jelasnya lagi, titik fokal di dalam ruang tamu pastinya kabinet televisyen yang mempunyai latar belakang seperti jubin di belakangnya.

Kabinet televisyen mereka amat ringkas memandangkan hanya terdapat rak sisi dan rak simpanan barangan di bawah televisyen sahaja.

KERUSI meja makan berunsurkan rotan.
KERUSI meja makan berunsurkan rotan.

"Dengan pemilihan warna coklat lembut pada rak televisyen, ternyata memberi rona serasi di dalam tamu yang mempunyai warna dinding putih sebagai latarnya. Malah, ia juga mempunyai rona hampir sepadan dengan dua kerusi tunggal di ruang itu.

"Latar televisyen yang mempunyai corak seperti jubin itu juga memberi kesan kepada ruang ini yang sekali gus menjadi titik fokal apabila kami berada di dalam ruang tamu," katanya.

Ketika berada di dalam ruang dapur pasangan itu, ternyata rasa tenang sekali lagi menerpa kerana warna hijau zaitun yang lembut menjadi pilihan pasangan itu untuk kabinet.

Lebih menarik, di dalam ruang dapur juga terdapat 'faux beam' yang memberi kesan tiga dimensi di siling dan menaikkan lagi seri di dalam ruang berkenaan.

KABINET tepi berkonsepkan kayu yang unik.
KABINET tepi berkonsepkan kayu yang unik.

Katanya, faux beam itu juga banyak dijadikan hiasan bagi kediaman berkonsepkan farm house yang moden dan apabila diterapkan di dalam ruang berkenaan, ia kelihatan menjadi satu titik fokal.

"Saya dan isteri merasa puas apabila berada di dalam setiap ruang yang dihasilkan oleh pereka hiasan dalaman profesional ini kerana warna dinding, aksesori dan perabot yang disediakan mempunyai kesinambungan tersendiri.

"Malah, paling penting konsep yang diinginkan mampu diterjemahkan dengan baik. Untuk makluman sebenarnya pereka hiasan kami hanya mengambil masa dua minggu sahaja untuk menyiapkannya.

"Dari segi kos kami membelanjakan sekitar RM120,000 untuk tujuan hiasan dalaman. Ia termasuk kos membeli perabot dan aksesori. Bagi saya, harga yang ditawarkan amat berbaloi dengan hasil yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 6:20 AM