RUANG tamu kelihatan lebih segar dan mewah.
RUANG tamu kelihatan lebih segar dan mewah.
Hafiz Ithnin


Hanya mengambil masa empat hari, pereka hiasan dalaman ini mampu menjadikan rumah pelanggan mereka berubah hampir seratus peratus.

Malah, penulis yang melihat foto yang dikirimkan sebelum dan selepas 'dimakeover' ternyata agak kagum kerana ia mengambil masa begitu singkat.

Bagi pereka hiasan dalaman, Nurlailah Khadijah Awaluddin perkara itu menjadi lebih mudah apabila pelanggan mengetahui konsep dan hiasan yang mereka inginkan dengan jelas.

Tambahnya, sebelum membuat kerja mengubah suai, pastinya pelan yang dilukis secara digital ditunjukkan dahulu kepada pelanggan.

"Untuk pelanggan ini, dia inginkan konsep moden, kontemporari dan minimalis supaya rumah tampak lebih luas dan segar.

"Tambahan pula, mereka juga gemarkan warna biru dalam rumah. Jadi, saya melihat tidak ada keperluan untuk memilih keseluruhan ruang yang dipilih untuk diubah suai berona itu. Cukup dengan memilih beberapa elemen sahaja sebagai titik fokal dan menggambarkan cita rasa rona mereka," katanya.

HIASAN yang menjadi titik fokal.
HIASAN yang menjadi titik fokal.

Katanya, pada awalnya pelanggannya hanya ingin membuat ubah suai di dua ruang terutama di bahagian dapur, tetapi apabila melihat hasil yang ditonjolkan, pelanggan berminat meneruskan kepada beberapa ruang lain antaranya bilik anak dan ruang tamu.

"Pada bahagian dapur, saya memilih kabinet dapur yang mempunyai rekaan gerbang yang menjadi pemisah antara ruang. Rekaan ini banyak mendapat permintaan di butik khasnya.

"Namun, apabila berada dalam dapur, ia kelihatan unik dan segar. Malah, tidak ramai yang memilih rekaan seperti ini untuk kabinet dapur," katanya.

Bercerita mengenai ruang tamu, dia memilih untuk mengecat ruang itu dengan rona kelabu lembut kerana apabila mendapat pencahayaan lampu berwarna jingga, keadaan ruang akan kelihatan mewah.

"Rona kelabu ini juga memudahkan untuk kita memasukkan pelbagai rona lain, tetapi perlu bijak mengaturnya supaya tidak kelihatan canggung.

DAPUR selepas direnovasi tampak unik dan menarik.
DAPUR selepas direnovasi tampak unik dan menarik.

"Apabila diletakkan 'wall accent' sebagai bingkai seni di dinding yang berona biru muda, hiasan dinding itu juga mampu menonjol dan menjadi titik fokal di ruang tamu," katanya.

Tambahnya, untuk menjadikan 'wall accent' itu mempunyai kesinambungan dengan rona lain, kerusi makan sedia ada pelanggan yang mempunyai warna biru seakan-akan dengannya diguna kembali.

"Kesinambungan warna amat penting supaya keadaan sesuatu hiasan dalaman itu tidak nampak pelik atau canggung apabila berada di sesuatu ruang," katanya.

Mengenai bilik anak pelanggannya, Nurlailah berkata, warna putih dikekalkan dalam bilik berkenaan untuk dipadankan dengan perabot dan aksesori berwarna ceria.

"Di bilik ini, saya cat warna hijau, kuning, merah dan biru di dinding utama supaya ruang itu nampak ceria sesuai dengan pemiliknya iaitu kanak-kanak.

"Selain itu, perabot utama yang dipilih juga diambil ilham daripada lego yang berwarna-warni memberi kesinambungan dengan dinding yang menjadi titik fokal dalam bilik itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 6:11 AM