KONSEP terbuka sesuai dengan rumah bersaiz kompak.
KONSEP terbuka sesuai dengan rumah bersaiz kompak.
Muhamaad Razis Ismail


DEKORASI ruang mengikut gerak hati. Demikian prinsip yang dipegang Sharifah Maisara Syed Mohd, 31, untuk menghias rumahnya di Cyberjaya.

Baginya, tidak salah menjadikan kediaman orang lain sebagai panduan, namun perlu letakkan sepenuh hati untuk menghias rumah kita.

Jadi tidak hairan, biarpun tidak memiliki latar belakang dalam bidang hiasan dalaman, namun sentuhan dekorasi ibu kepada dua anak ini mendapat maklum balas positif di media sosial.

Hanya melihat dekorasi ruang pangsapuri dengan keluasan 850 kaki persegi di Instagram sudah mampu membuat sesiapa sahaja merasa tenang dan damai.

Biarpun keluasan terhad, Sharifah Maisara bijak memanfaatkan setiap ruang dalam rumah itu dengan baik untuk keselesaan dan ketenangan dia serta keluarga.

Sharifah Maisara dan suaminya, Muhammad Hanafi Mohd Najib, 31, mengetengahkan konsep moden scandinavia kerana sesuai dengan saiz rumah berkenaan.

"Sejujurnya, konsep ini tidak lapuk ditelan zaman dan sangat praktikal sehingga hari ini.

"Gabungan perabot berwarna putih dan kayu mampu memberi impak ruang dalaman sesebuah rumah kelihatan lebih luas.

"Malah, konsep ini juga banyak dipamerkan di gedung IKEA selain mendapat sambutan baik di laman Instagram," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, setiap ruang dalam rumahnya itu mempunyai sentuhan yang sama dan sangat berkaitan antara satu sama lain.

BILIK tidur anak dilengkapi perabot kayu dan corak pada dinding.
BILIK tidur anak dilengkapi perabot kayu dan corak pada dinding.

"Misalnya perabot yang digunakan mempunyai warna dan material sama dalam setiap bilik.

"Secara peribadi ruang yang paling digemari adalah bilik tidur utama kerana di situ tempat saya beristirahat," katanya.

Jelasnya, pemilihan warna putih dan pastel sebagai warna utama di rumahnya adalah sebagai simbol ketenangan pada setiap ruang.

"Bagi saya, warna sebegini memberi impak yang sangat besar untuk kediaman bersaiz sederhana seperti rumah kami selain nampak lebih kemas pada setiap masa.

LALUAN masuk dihias secara ringkas dengan pokok hiasan.
LALUAN masuk dihias secara ringkas dengan pokok hiasan.

"Biarpun ia perlu dijaga rapi kerana lebih cepat berhabuk, tetapi itu bukan penghalang memilih warna yang lembut. Perabot berwarna putih amat mudah dipadankan dengan apa sahaja warna terutama dengan warna asli kayu," katanya.

Tambahnya, untuk kelihatan luas, susun atur perabot perlu dirancang dengan teliti termasuk mengambil kira pemilihan warna, aksesori dan jenis.

SHARIFAH Maisara bersama suami dan anak.
SHARIFAH Maisara bersama suami dan anak.

"Aksesori dekorasi perlu minimum dan tidak keterlaluan. Pemilihan fabrik bagi cadar katil, langsir, alas meja juga perlu terdiri daripada warna terang dan lembut supaya rumah sentiasa nampak lapang.

"Saya gemar bereksperimen dengan susun atur perabot dan jika mendapat idea baharu, saya akan ubah kedudukannya.

"Namun, susun atur perabot perlu tepat untuk nampak cantik dan luas. Perabot yang terlalu besar tidak sesuai untuk kediaman bersaiz kompak seperti rumah saya ini," katanya.

Kongsi Sharifah Maisara, minat mendekorasi ruang rumah sudah lama sejak zaman bujang dengan konsep yang dipilih berbeza mengikut perkembangan usia.

"Untuk rumah sekarang, saya sendiri yang merancang dan mendekorasi ruang mengikut kehendak, keselesaan serta kesesuaian.

TINGKAP utama di ruang tamu dihiasi tumbuh-tumbuhan untuk pencahayaan yang baik.
TINGKAP utama di ruang tamu dihiasi tumbuh-tumbuhan untuk pencahayaan yang baik.

"Proses mendekorasi agak mudah kerana perabot yang saya miliki kebanyakannya dari rumah sewa dulu. Jadi, saya hanya menambah beberapa perabot untuk memenuhi setiap ruang, sekali gus dapat menjimatkan kos," katanya.

Disebabkan tiada balkoni, dia memilih untuk menempatkan tumbuhan hiasan segar sebagai pusat ketenangan dalam rumah.

"Selain dapat memberi kesegaran dan pengudaraan sempurna, aktiviti seperti menyiram pokok juga bagus untuk terapi minda," katanya.

Baginya menghias rumah memberi kepuasan tersendiri selepas seharian penat bekerja di pejabat.

"Rumah yang cantik dan kemas memberi ketenangan minda terutama pada musim pandemik ini.

"Buat masa ini, saya merancang untuk memperbanyakkan tempat penyimpanan di ruang dobi dan memanfaatkan fungsi ruangan sedia ada secara maksimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 7:00 AM