ELEMEN semula jadi seperti kayu, rotan, jut dan rumput laut digunakan pada perabot dan barang perhiasan.
ELEMEN semula jadi seperti kayu, rotan, jut dan rumput laut digunakan pada perabot dan barang perhiasan.
Muhamaad Razis Ismail


MENATA hias rumah adalah proses yang menuntut kesabaran yang tinggi dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.

Tambahan pula jika dekorasi rumah dilakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman.

Sedikit kesilapan bukan sahaja tidak mendapat hasil yang diinginkan, malah boleh mengakibatkan kerugian besar untuk melakukan pengubahsuaian semula.

Situasi ini dilalui Reena Rahamat, 43, yang melakukan sendiri dekorasi rumahnya dengan mengetengahkan konsep moden organik diserikan sedikit elemen vintaj.

Alasannya tidak menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman kerana mahu dekorasi rumah kluster dua tingkat ini mendapat hasil sentuhannya selain menjimatkan kos.

Bagi merealisasikan impiannya itu, dia tidak pernah jemu belajar teknik menata hias rumah untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak terburu-buru dalam membuat dekorasi pada setiap ruang di rumah berkeluasan 2,550 kaki persegi itu sejak tahun lalu sehingga kini.

Katanya, biar ruang itu kosong daripada membeli perabot dan barangan perhiasan yang berfungsi hanya untuk memenuhkan ruang sedangkan ia bukan gaya yang diminati.

"Saya menyiapkan dekorasi ruang secara berperingkat bermula dengan membuat kabinet dapur kerana ini adalah ruang terpenting untuk memulakan kehidupan di rumah baharu.

"Kemudian, saya mengupah kontraktor untuk membuat kabinet di bilik cucian dan bilik pakaian. Saya fokus kepada ruangan ini terlebih dahulu selepas berpindah masuk kerana ruang penyimpanan adalah penting bagi memastikan rumah nampak kemas," katanya.

AMALKAN mengambil makanan kaya serat
AMALKAN mengambil makanan kaya serat

Pada masa sama, dia juga mula mencari perabot asas yang penting untuk ruangan lain seperti meja makan dan katil.

"Bagi menjimatkan kos, saya menggunakan semula perabot daripada rumah lama.

"Untuk pemilihan perabot, saya dapatkan dari kedai perabot dan tempah dari kilang di Indonesia kerana lebih mudah mendapatkan gaya perabot yang sesuai dengan konsep rumah. Ada juga yang saya dapatkan dari China kerana harga yang lebih murah," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, bagi menepati konsep yang diinginkan, dia banyak menggunakan elemen semula jadi seperti kayu, rotan, jut dan rumput laut pada perabot dan barang perhiasan.

"Selain itu, saya turut menggunakan fabrik seperti kapas dan linen untuk langsir serta kusyen hiasan.

"Saya juga menggabungkan perabot moden dan vintaj untuk mengelakkan ruang kelihatan mendatar. Elemen vintaj juga boleh dilihat dari segi penggunaan lampu dan hamparan lantai di ruang tamu yang coraknya berinspirasikan corak vintaj," katanya.

Katanya, dia cenderung menggunakan warna putih dengan sedikit tona kelabu untuk pemilihan warna dinding di setiap ruang dalam rumah.

"Warna ini membuatkan ruang rumah tampil sejuk dan damai serta memberi sedikit kontra kepada lantai kayu laminasi yang bernada hangat.

REENA (dua dari kiri) bersama keluarganya.
REENA (dua dari kiri) bersama keluarganya.

"Menggunakan warna putih kekelabuan sebagai latar memudahkan saya untuk menata rias ruangan dengan warna lain. Saya banyak menggunakan warna alam dalam dekorasi rumah selain warna putih dan hitam.

"Untuk perabot, pula, saya menggunakan warna yang cerah supaya ruang nampak lebih lapang," katanya.

Katanya, cabaran dalam menghias rumah sudah pa

sti kewangan dan kekangan untuk mendapatkan barangan dekorasi yang menepati cita rasa.

"Biasanya saya amalkan konsep bersabar dan mengumpul bajet sehingga mencukupi barulah meneruskan projek dekorasi.

"Kewujudan platform e-dagang dan 'personal shopper' banyak membantu memudahkan saya mendapatkan barang dekorasi yang saya gemari. Kadangkala ada barangan yang saya perlu beli dari luar negara kerana tidak dapat menemuinya di pasaran tempatan," katanya.

Tambahnya, sebagai suri rumah, melihat kediaman

yang cantik, kemas dan bersih memberikan ketenangan kepada dirinya.

"Boleh dikatakan mendekorasi rumah adalah hobi di masa lapang dan cara saya melepaskan lelah selepas seharian menguruskan keluarga.

"Malah dengan memuat naik gambar di media sosial Instagram membuka ruang untuk saya menemui rakan baharu di alam maya yang mempunyai hobi yang sama seperti saya.

"Melalui gambar atau video yang dikongsikan kami dapat bertukar-tukar fikiran dan idea bagaimana mahu mencantikkan lagi ruang rumah masing-masing," katanya.

Reena turut berkongsi nasihat kepada individu yang ingin mendekorasi rumah sendiri, supaya jangan terburu-buru membeli barangan kerana jualan murah atau nampak cantik.

"Kumpul dahulu maklumat dan gambar contoh untuk menentukan apakah gaya dekorasi yang kena dengan jiwa kita. Kemudian baru cari perabot serta barangan lain secara perlahan-lahan mengikut bajet sedia ada.

"Kepuasan dalam mendekorasi rumah bukan sekadar terletak pada hasil akhirnya, tetapi sepanjang proses kita melakukannya. Itu keseronokan dalam mendekorasi rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 7:00 AM