Muhamaad Razis Ismail


RAMAI yang mengambil kesempatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini untuk mendekorasi rumah masing-masing.

Nor Asmawati Abdullah, 33, dan suami, Farhad Hassan, 33, antara yang tidak ketinggalan mendekorasi rumah teres berkeluasan 1,300 kaki persegi di Tampin, Negeri Sembilan dengan konsep gabungan industri dan rumah ladang.

Nor Asmawati berkata, dia tertarik dengan konsep itu kerana sukakan unsur kedesaan dan klasik Inggeris yang banyak menggunakan kayu, barang semula jadi, kitar semula serta lakukan sendiri (DIY).

"Penggunaan rona neutral membuatkan rumah yang menggunakan tema ini sejuk kepada mata memandang.

"Berbeza dengan konsep moden, tiada perhiasan mewah yang digunakan, sebaliknya semua praktikal dan semula jadi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ketika mula memasuki rumah ini pada 2017, mereka memilih konsep industri yang banyak menggunakan unsur besi, minimalis dan warna dinding yang gelap serta kelam.

PENGGUNAAN perabot bersesuaian mampu menyerlahkan tema 'farmhouse'.
PENGGUNAAN perabot bersesuaian mampu menyerlahkan tema 'farmhouse'.

"Namun, pada November 2019, saya mahu tukar kepada tema rumah ladang kerana inginkan suasana rumah yang tampak lebih tradisional, klasik dan kedesaan sesuai dengan peningkatan usia.

"Pada mulanya saya hanya bercadang untuk menambah ruang patio, namun apabila kerajaan melaksanakan PKP, kami menggunakan peluang mengubah keseluruhan dekorasi rumah ini," katanya.

Katanya, cabaran utama untuk menepati konsep ini adalah susun atur dengan ruang yang terhad kerana 'farmhouse'

itu sendiri membawa maksud rumah ladang yang besar dan luas.

"Oleh itu, kami perlu bijak dan kreatif menggunakan ruang terhad. Jika tersilap langkah boleh memakan masa dan kos yang tinggi.

BARANG keperluan disusun rapi.
BARANG keperluan disusun rapi.

"Selain itu, pemilihan warna dinding perlu diteliti kerana ia akan mendominasi keseluruhan rumah. Kami sendiri perlu menukar warna cat dinding sehingga tiga kali untuk mendapatkan warna yang tepat," katanya.

Mengulas lanjut, bagi mengetengahkan konsep rumah ladang sinonim dengan kawasan padang rumput yang luas, dia dan suami memanfaatkan kawasan luar rumah yang kecil dengan meletakkan rumput tiruan.

"Kami turut menggunakan ruang tanah di hadapan rumah untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran seperti, tomato, bayam brazil, bayam hijau, pokok cili dan sawi untuk mewujudkan suasana 'ladang'," katanya.

Tambah Nor Asmawati, dalam mendekorasi rumah itu dia akan memastikan setiap ruang mempunyai daya tarikan dan keistimewaan tersendiri.

"Contohnya untuk ruang tamu, saya mengekalkan rak buku yang diperbuat daripada besi paip dan memadankannya dengan pendiang api yang lengkap dengan kayu api serta lampu LED untuk menampakkan seolah-olah pendiang api sebenar. Dua gabungan unsur baru (besi) dan lama (kayu) ini mewujudkan suasana yang sangat estetik serta tenang.

"Manakala untuk ruangan makan pula, saya menampilkan tema kedesaan, klasik Inggeris dan vintaj dengan menggunakan meja makan, lampu, perabot dari unsur kayu. Lampu meja makan dengan rekaan unik dan saiz yang besar menjadi tarikan utama di ruang ini," katanya.

DAPUR menjadi antara ruang kegemaran Nor Asmawati.
DAPUR menjadi antara ruang kegemaran Nor Asmawati.

Jelasnya, sebelum membuat pengubahsuaian, dia memastikan terlebih dahulu tema yang dimahukan supaya tidak berubah fikiran di saat akhir.

"Ia akan memudahkan kami mencari barang perhiasan yang sesuai, dapat menjimatkan masa dan mengelakkan pembaziran daripada membeli barang yang tidak perlu.

"Memandangkan dekorasi tema industri sesuai digabungkan dengan konsep rumah ladang, kami mengekalkan beberapa perabot dan perhiasan yang sedia ada dan selebihnya kami 'makeover' dan DIY seperti hiasan tingkap kayu di ruang makan, pendiang api, meja bar serta ruang penyimpanan makanan," katanya.

Ditanya mengenai ruang yang paling digemari, Nor Asmawati memilih dapur kerana sukakan dekorasi dan susun atur yang nampak lebih hidup dengan rona hijau pokok serta gabungan elemen kayu, batu selain besi.

"Memandangkan banyak masa dihabiskan di dapur, saya akan pastikan ruang ini perlu praktikal, tapi dalam masa sama masih mengekalkan konsep 'farmhouse.'

PANTRI makanan di sebalik meja bar yang dihasilkan sendiri.
PANTRI makanan di sebalik meja bar yang dihasilkan sendiri.

"Kami hasilkan meja bar yang mempunyai ruang simpanan makanan sederhana, tapi cukup sempurna dari segi saiz dan rekaannya.

"Kami DIY dinding sedia ada supaya nampak seperti dinding batu bata merah klasik dengan hanya menggunakan 'joint compound' untuk menghasilkan tekstur bata yang sebenar selain menggunakan cat campuran warna yang sesuai.

"Malah, kami padankan dengan rak kayu yang tebal dan papan tanda kayu yang sememangnya satu ciri yang wajib ada dalam konsep rumah ladang. Semua elemen ini membuatkan ruang ini tampak ceria dan menaikkan mood," katanya.

Selain itu, Nor Asmawati turut meminati ruang patio yang menjadi tempat bersantai sambil menghirup udara segar dengan pemandangan hutan simpan.

"Kami turut membina rumah berkonsepkan 'farmhouse' untuk kucing peliharaan yang ditempatkan di ruang ini," katanya.

Kata Nor Asmawati, dia tidak menyangka perkongsian mengenai rumahnya di media sosial mendapat lebih 41,000 perkongsian.

"Niat asal saya hanya mahu berkongsi hasil dekorasi kami suami isteri, namun tidak menyangka ramai meminati konsep ini.

"Rata-rata dari mereka menyuarakan tidak mempunyai kemahiran untuk dekorasi rumah sendiri, jadi kami sangat berbesar hati apabila menjadi sumber inspirasi untuk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:00 AM