BILIK tidur mempunyai rona seimbang.
BILIK tidur mempunyai rona seimbang.
KONSEP moden sememangnya menawarkan aura mewah.
KONSEP moden sememangnya menawarkan aura mewah.
Hafiz Ithnin


"KITA tidak boleh membeli rumah selalu, tetapi untuk dekorasi boleh!," tegas wanita berusia 40 tahun itu kepada penulis mengenai kekerapannya menata hias rumahnya.

Dalam tempoh 11 tahun mendiami rumah teres dua tingkat itu sudah lima kali pemilik rumah, Nurhayaty Abd Jalil dan Mohd Farid Mohd Saad menukar konsep dekorasi.

Bukan sedikit-sedikit diubahnya, tetapi keseluruhan demi mendapatkan suasana baharu dalam rumah peribadi milik mereka. Antara konsep yang pernah diterapkan dalam rumah mereka ialah kontemporari, Eropah moden, scandinavia dan tropika.

Nurhayaty berkata, terbaharu dia menukar konsep rumah kepada moden yang dilihat lebih malar segar dan menetapkan rona monokrom sebagai dominasi dalam ruang rumah.

Jelasnya, dia puas apabila dapat menukar suasana baharu dalam rumah walaupun ada yang melihat agak mencabar, tetapi tidak kepada mereka sekeluarga.

"Bagi saya apabila menukar dekorasi ini, dapat merasai suasana berlainan dan memberi ketenangan tersendiri. Selain itu, ia juga menajamkan lagi seni saya dalam mendekorasi rumah.

RONA monokrom menjadi pilihan.
RONA monokrom menjadi pilihan.

"Boleh katakan, hampir keseluruhan aktiviti dekorasi rumah dilakukan sendiri kerana saya dan suami mempunyai latar belakang dalam bidang ini. Justeru, ia lebih memudahkan kerja untuk melaksanakannya," katanya.

Tambahnya, perkara lebih utama sekiranya kerap menukar konsep rumah ialah memilih warna cat utama dalam rumah kerana ia menjadi elemen utama yang boleh menjadikan suasana baharu dalam sesuatu ruang.

"Selain itu, aksesori juga menjadi peranan penting bagi menonjolkan sesuatu konsep walaupun perabot utama itu adalah lama. Contohnya sarung kusyen, permaidani, langsir dan pasu perhiasan, ia akan menjadikan ruang itu kelihatan mempunyai konsep lain.

"Jadi, apabila seseorang itu tidak mahu menukar keseluruhan konsep mereka boleh menukar perincian atau aksesori yang boleh menjadi titik fokal dalam rumah mereka supaya kelihatan baharu," katanya.

LIMPAHAN lampu dan rona menjadikan ruang lebih menarik.
LIMPAHAN lampu dan rona menjadikan ruang lebih menarik.

Tambahnya, walaupun sering menukar konsep dalam rumah, warna yang boleh menonjolkan ketenangan dan selesa seperti warna monokrom. Rona ini apabila menerima kesan limpahan lampu yang betul akan menonjolkan suasana itu.

"Untuk dekorasi terbaharu rumah saya menggabungkan beberapa rona iaitu putih, kelabu dan sedikit hitam sebagai perincian supaya ia boleh menjadi satu titik fokal yang menarik dalam rumah.

"Perabot juga perlu mempunyai kesinambungan dengan rona dinding supaya ia nampak serasi. Jadi, saya memilih perabot yang hampir sama dengan warna dinding, tetapi ia lebih gelap," katanya.

Ternyata sentuhan kreatif pasangan itu menjadi kerana apabila berada dalam rumah mereka, terasa tenang dan aura kemewahan moden itu dapat dirasai.

KABINET dapur berona kelabu menjadi pilihan.
KABINET dapur berona kelabu menjadi pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 6:20 AM