BILIK tidur si kecil yang dihias menarik.
BILIK tidur si kecil yang dihias menarik.
DEKORASI moden menyerikan rumah pangsa milik pasangan, Nordahiyah dan Mohamad Safuan.
DEKORASI moden menyerikan rumah pangsa milik pasangan, Nordahiyah dan Mohamad Safuan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DARI luar, rumah pangsa ini kelihatan biasa sahaja namun jika menjengah di bahagian dalam, dekorasinya tidak ubah seperti kondominium mewah.

Meskipun rumah itu bersaiz kecil iaitu hanya 650 kaki persegi namun ia bukan halangan bagi Nordahiyah Abu Hassan, 27, dan suaminya, Mohamad Safuan Baharudin, 32, mencipta ruang lebih selesa untuk keluarga.

Rumah yang terletak di Pandan Utama, Kuala Lumpur itu dihuni pasangan berkenaan bersama dua anak mereka sejak enam tahun lalu.

Menurut Nordahiyah, rumah berkenaan sudah beberapa kali dihias dengan pelbagai konsep namun tema terbaharu iaitu moden kontemporari paling diminati dia dan suami.

CERMIN bukan sekadar hiasan, tetapi bantu menampakkan ruang tamu lebih luas.
CERMIN bukan sekadar hiasan, tetapi bantu menampakkan ruang tamu lebih luas.

Katanya, dia mengambil peluang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memulakan dekorasi rumahnya bermula April tahun lalu dan siap sepenuhnya menjelang Aidilfitri tahun lalu.

"Rumah ini mempunyai tiga bilik dan rekaannya adalah jenis memanjang, jadi kami perlu bijak menggunakan sepenuhnya ruang.

"Tumpuan dekorasi diberikan pada ruang tamu, bilik tidur utama dan bilik tidur anak manakala bahagian dapur masih kekal dengan rekaan asal.

"Baik dari segi pemilihan, susun atur perabot mahupun pemilihan warna cat, semuanya kami lakukan sendiri kerana lebih jimat dan memuaskan hati," katanya.

RINGKAS dan selesa, ruang tamu rumah Nordahiyah.
RINGKAS dan selesa, ruang tamu rumah Nordahiyah.

Jelas suri rumah itu lagi, dia dan suami memilih gabungan rona kelabu dan biru untuk dekorasi kali ini kerana warna berkenaan membantu menyerlahkan ruang yang lebih lapang.

Selain itu, bagi menampakkan lagi ruang lebih luas, Nordahiyah turut memasang dua cermin besar di ruang tamu.

Kata Nordahiyah, semua idea dekorasi itu adalah hasil kreativiti dia dan suami selain diceduk daripada pelbagai kelab dekorasi di laman sosial.

Katanya, dekorasi itu dilakukan secara sedikit demi sedikit dan kami pastikan bahagian ruang tamu tidak memiliki banyak hiasan kerana dua anak perempuan sedang lasak.

BINGKAI gambar keluarga dalam rona hitam putih yang menambah seri di ruang makan.
BINGKAI gambar keluarga dalam rona hitam putih yang menambah seri di ruang makan.

"Selain bunga hiasan, elemen lain turut menyerikan ruang tamu dan meja makan seperti bingkai gambar hitam putih kami sekeluarga.

"Untuk bilik tidur utama dan bilik tidur anak pula, perabot moden yang ringkas menjadi pilihan dengan gabungan rona kelabu, putih dan merah jambu.

"Alhamdulillah, gabungan idea dan kreativiti itu 'menjadi' serta secara keseluruhan kami berpuas hati dapat memiliki 'Rumahku Syurgaku' ini," katanya.

Dalam pada itu, Nordahiyah berkata, minatnya terhadap dekorasi rumah bermula sejak zaman bujang.

Katanya, minat itu turut diketahui rakan-rakannya dan ada yang meminta pendapatnya dalam mendekorasi rumah masing-masing.

"Sebenarnya tidak susah untuk 'mencantikkan' rumah asalkan ada minat dan kesungguhan.

"Bagi saya, rumah tidak semestinya luas, tetapi perlu selesa kerana ia adalah tempat untuk keluarga berehat.

"Dalam hal ini, saya bertuah kerana suami juga berkongsi minat sama iaitu suka menghias dan mencantikkan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 7:00 AM