Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) akan memberi fokus kepada golongan profesional muda Bumiputera menerusi Program Profesional Bumiputera dengan menyalurkan sebanyak RM50 juta pembiayaan kepada mereka yang layak menjelang tahun depan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, pihaknya memahami masalah kekangan wang yang dihadapi oleh golongan profesional muda terutama mereka yang ingin membuka firma guaman, farmasi dan klinik.

"Kami akan memastikan dana ini sampai kepada kumpulan sasaran terutama menerusi dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta yang diterima oleh TEKUN Nasional dalam Bajet 2015.

"Selain program Pembangunan Profesional Bumiputera, TEKUN Nasional juga akan memperkenalkan Program Bekas Tentera dengan peruntukan sebanyak RM50 juta," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, peruntukkan tambahan yang diterima itu, menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap TEKUN Nasional sebagai institusi yang benar-benar membantu usahawan.

Abdul Rahim berkata, pihaknya menyasarkan 40,000 hingga 50,000 usahawan baru akan mendapat manfaat daripada dana tambahan itu tahun depan termasuk menerusi program yang diperkenalkan dengan penerimaan dana dari RM10,000 hingga RM100,000.

Selain itu, TEKUN Nasional sebelum ini telah menyalurkan sebanyak RM167 juta pembiayaan kepada lebih kurang 13,000 usahawan India dan menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Muda India, pihaknya juga yakin dapat membantu lebih 5,000 lagi usahawan dengan dana sebanyak RM50 juta tahun depan.

"Bermula tahun depan juga TEKUN Nasional akan membuat kajian menyeluruh mengenai impak daripada pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan sejak 1998 dengan dana sebanyak RM3.25 bilion setakat ini.

"Malah, pada 2015 juga kami akan memberi penekanan kepada program bimbingan usahawan TEKUN Nasional untuk memastikan mereka benar-benar bersedia menjadi usahawan yang berjaya sekali gus dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:11 AM