RAMANAN (dua dari kanan) melancarkan Brief-i di Dewan Tun Abdul Razak (DTAR), Menara Kembar Bank Rakyat.
RAMANAN (dua dari kanan) melancarkan Brief-i di Dewan Tun Abdul Razak (DTAR), Menara Kembar Bank Rakyat.
Sri Ayu Kartika Amri

BANK Rakyat memperuntukkan sebanyak RM50 juta menerusi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (Brief-i) khusus untuk komuniti usahawan India yang menjalankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pembiayaan itu juga bagi penyediaan modal kerja dan perbelanjaan modal untuk membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, Brief-i adalah bukti dedikasi Bank Rakyat terhadap inklusiviti serta pembangunan sosioekonomi masyarakat Malaysia secara holistik dan menyeluruh sejak 70 tahun penubuhannya.

Katanya, inisiatif ini juga memberi peluang untuk komuniti usahawan India mencapai aspirasi kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar, sekali gus merapatkan jurang ekonomi Malaysia Madani yang makmur dan sejahtera.

"Kekuatan ekonomi sahajalah yang mampu menjamin masa depan dan juga hala tuju masyarakat India di negara ini dan ini juga adalah pegangan dan prinsip saya.

"Di harap, melalui Brief-i, ia dapat membina masa depan yang lebih cerah bagi usahawan komuniti India.

"Saya percaya bahawa dengan menyokong usahawan komuniti India, kita mampu memupuk ekonomi yang lebih pelbagai, berdaya tahan dan makmur untuk semua," katanya di majlis pelancaran Brief-i di sini, semalam.

Ramanan berkata, Brief-i menawarkan pelbagai kelebihan berbanding program pembiayaan lain yang ada di pasaran antaranya, bagi perusahaan mikro antaranya, kadar rata 6.50 peratus setahun dengan had pembiayaan antara RM1,000 hingga RM50,000.

Manakala bagi PKS, kadar pembiayaan adalah pada kadar asas pembiayaan (KAP) + 0.67 peratus setahun termasuk yuran jaminan dengan had antara RM50,001 hingga RM1 juta.

Beliau berkata, berbeza dengan sesetengah program pembiayaan lain, Brief-i tidak memerlukan usahawan untuk mempunyai simpanan paksa (force savings) atau menyertai kumpulan bantuan diri (self-help group).

Menurutnya, itu memberikan kebebasan kepada usahawan untuk fokus sepenuhnya kepada perniagaan mereka tanpa sebarang kekangan tambahan.

Selain itu, Brief-i menetapkan proses dokumentasi yang ringkas berbanding program pembiayaan lain bagi membolehkan usahawan memohon dengan lebih mudah dan pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 7:10 AM