Suraya Roslan


Petaling Jaya: Seramai 137,520 usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) 'dicari' berikutan tidak membayar tunggakan pinjaman berjumlah RM1.1 bilion.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah peminjam tertinggi iaitu 22,662 orang, diikuti Sabah 16,945 orang manakala Kuala Lumpur 7,679 orang.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan berkata, pihaknya menyeru peminjam Tekun supaya melaksanakan tunggakan supaya manfaat itu dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia lain yang memerlukan.

"Saya dimaklumkan, sehingga Januari 2024, kadar tunggakan pembiayaan adalah sebanyak 12.66 peratus di seluruh negara manakala di Selangor, kadar tunggakan pembiayaan dicatatkan pada kadar 21.53 peratus.

"Saya harap para peminjam dapat menjelaskan baki pembiayaan mengikut jadual. Kita mestilah menjadi masyarakat yang bertanggungjawab kerana kika kita tidak bayar balik pinjaman yang diberikan, manfaat ini tidak dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia lain yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannnya ketika merasmikan Karnival Tekun Madani peringkat Selangor di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Tekun Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

RAMANAN melawat tapak jualan pada majlis pelancaran Karnival Tekun Madani Negeri Selangor. FOTO Rohanis Shukri
RAMANAN melawat tapak jualan pada majlis pelancaran Karnival Tekun Madani Negeri Selangor. FOTO Rohanis Shukri

Sejak kewujudan agensi itu pada 1998 sehingga Januari 2024, Tekun Nasional menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 574,348 orang usahawan yang bernilai RM9.15 billion di seluruh negara.

Pada majlis itu, Ramanan turut mengumumkan pembiayaan sebanyak RM65 juta untuk disalurkan kepada 4,000 usahawan informal dan mikro di Selangor oleh Tekin Nasional bagi meningkatkan taraf ekonomi usahawan di negeri itu.

Menurutnya, setakat Januari tahun lalu, sejumlah 7.35 juta pembiayaan diberikan kepada 225 usahawan Tekun

Selangor.

"Kepada usahawan yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan, ambil peluang yang disediakan, untuk mendapatkan pembiayaan.

"Tekun menyalurkan pembiayaan sehingga RM100,000 untuk tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun pada kadar faedah dua hingga empat peratus sahaja, jauh lebih rendah daripada institusi pembiayaan kewangan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 2:20 PM
RAMANAN pada majlis pelancaran Karnival Tekun Madani Negeri Selangor. FOTO Rohanis Shukri
RAMANAN pada majlis pelancaran Karnival Tekun Madani Negeri Selangor. FOTO Rohanis Shukri