MOHD Muazzam ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara Bank Islam Malaysia Berhad dan PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHD Muazzam ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara Bank Islam Malaysia Berhad dan PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim

BANK Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyasarkan untuk menyalurkan sebanyak RM12 juta pembiayaan iTEKAD pada 2023 bagi memperkasakan agenda pembangunan usahawan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sejak iTEKAD diperkenalkan pada 2020, Bank Islam sudah membantu lebih 510 usahawan mikro membabitkan jumlah pembiayaan hampir RM8.5 juta di bawah program kewangan inklusif ini.

Katanya, langkah pembiayaan yang lebih besar itu juga adalah bagi membantu usahawan mikro berhadapan dengan cabaran ekonomi pada tahun hadapan dan program iTEKAD juga akan dikembangkan dengan sasaran kerjasama strategik 13 badan pelaksana terdiri daripada agensi pengurusan zakat seluruh negara.

"Program iTEKAD adalah bagi membantu usahawan mikro meneruskan perniagaan dan membantu mereka berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar.

"Kelebihan lain program iTEKAD adalah ia bukan saja semata-mata program pembiayaan tetapi merangkumi latihan dan pemantauan.

"Latihan ini bersama rakan pelaksana akan memberi mereka ruang pemerkasaan yang komprehensif," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di sini semalam.

Di bawah MoU itu, usahawan mikro yang juga pembayar zakat perniagaan PPZ-MAIWP, mempunyai peluang untuk memohon pembiayaan mikro iTEKAD, tertakluk kepada syarat kelayakan.

Mohd Muazzam berkata, dengan iTEKAD, usahawan mikro berpeluang untuk mencapai daya tahan kewangan, meraih pendapatan mampan dan seterusnya menyumbang kepada komuniti.

Beliau berkata, rekod kredit yang baik serta dokumentasi perniagaan tersusun melalui program latihan akan mempersiapkan mereka ke arah mendapatkan kemudahan perbankan lain pada masa hadapan.

Usahawan mikro yang layak juga katanya boleh menerima geran dalam program ini.

"Menerusi kerjasama PPZ-MAIWP, Bank Islam menyasarkan seramai 500 pembayar zakat PPZ-MAIWP yang layak akan mendapat kemudahan pembiayaan terbabit dalam tempoh 12 bulan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 7:10 AM