LUCAS  (kanan) dan  Shany  bersama anugerah dimenangi.
LUCAS (kanan) dan Shany bersama anugerah dimenangi.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju perumahan terkemuka dan anak syarikatnya, MGB Bhd (MGB) merangkul beberapa anugerah berprestij The Edge Malaysia ESG Award 2023 di dalam kategori ekuiti.

LBS dinobatkan penerima anugerah Silver bagi The Most Improved Performance Over Three Years, dengan peningkatan nilai permodalan pasaran daripada RM300 juta kepada RM800 juta di majlis itu.

Bagi kategori pembinaan, MGB yang juga penyedia penyedia perkhidmatan dan pembangunan hartanah, berjaya merangkul anugerah Silver.

Anugerah terbabit disampaikan kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Lucas Lim Kim Kiat dan Ketua Kelestarian Kumpulan, Shany Lim Chew Yee dalam majlis penganugerahan yang berlangsung, kelmarin.

Anugerah The Edge Malaysia ESG adalah kerjasama di antara Bursa Malaysia dan FTSE Russell.

Kategori ekuiti dinilai menggunakan kaedah penilaian ESG FTSE Russell, yang selari dengan kaedah digunakan untuk mewujudkan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, salah satu tatacara piawaian industri diguna pakai untuk amalan tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) di Malaysia.

Kriteria pemilihan pemenang diperhalusi dengan teliti oleh juruaudit rasmi dari Deloitte, sebuah firma audit terkemuka dengan kepakaran dan pengalaman luas di dalam menilai risiko korporat dan kedaulatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LBS merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MGB, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, berkata, pengiktirafan ini adalah bukti dan dedikasi syarikat yang tidak berbelah bahagi dalam mengendalikan operasi perniagaan dengan rasa penuh tanggungjawab.

"Oleh itu, pengiktirafan ini adalah pengesahan yang tepat pada masanya, terutamanya terhadap usaha berterusan kedua-dua syarikat untuk mengintegrasikan prinsip ESG ke dalam teras operasi.

"Di masa hadapan, kami percaya bahawa pembangunan mampan bukan sekadar pilihan sebaliknya ia satu tanggungjawab dan komitmen utama kepada kesejahteraan bumi dan penghuninya," katanya dalam satu kenyataan.

Selaras dengan pengiktirafan ini, LBS dan MGB sepakat mengumumkan komitmen untuk meningkatkan piawaian ESG di dalam operasi perniagaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 7:03 AM