Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, (kiri) menerima Anugerah ‘Deloitte Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2023’ daripada Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia,  Yee Wing Peng (dua dari kiri) disaksikan oleh Ketua Program Pengurusan Syarikat Terbaik SEA, Michael Tsia (kanan) dan Pengerusi Taliworks Corporation Berhad, YAM Tunku Ali Redhauddin (dua dari kanan).
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, (kiri) menerima Anugerah ‘Deloitte Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2023’ daripada Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng (dua dari kiri) disaksikan oleh Ketua Program Pengurusan Syarikat Terbaik SEA, Michael Tsia (kanan) dan Pengerusi Taliworks Corporation Berhad, YAM Tunku Ali Redhauddin (dua dari kanan).

Kuala Lumpur: Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan bahawa ia telah dipilih sebagai penerima "Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik 2023 (Malaysia)" oleh firma perunding global terkemuka Deloitte.

Ini merupakan penganugerahan bagi tahun kedua berturut-turut yang diperolehi oleh LBS. Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte SEA, Yee Wing Ping kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan pada majlis anugerah yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik Deloitte merupakan program anugerah perniagaan berprestij dan telah dianjurkan di lebih 37 negara sejak 1993.

Ia mengiktiraf syarikat tempatan milik persendirian (termasuk entiti yang tersenarai dengan saham majoriti yang dipegang secara persendirian) di atas kecemerlangan organisasi dan sumbangan mereka kepada ekonomi.

Mengulas mengenai anugerah itu, Datuk Wira Joey Lim berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk sekali lagi dinobatkan sebagai salah satu daripada pemenang Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2023 oleh Deloitte.

"Ia adalah gambaran sebenar kejayaan berterusan kami sebagai sebuah organisasi.

"Sebagai pemaju perumahan rakyat, kami memberi penekanan kepada nilai teras kami dan tumpuan kepada kediaman yang berkualiti berdasarkan tiga teras utama iaitu Mampu Milik, Ketersambungan dan Komuniti," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, anugerah itu merupakan penghargaan terhadap usaha dan dedikasi hampir 500 kakitangan LBS di samping penerapan budaya kerja dinamik serta pelaksanaan perancangan strategik.

"Adalah sesuatu yang amat mengujakan untuk menyaksikan pengiktirafan terhadap komitmen dan perkembangan LBS sepanjang tahun.

"Menerima anugerah ini bagi tahun kedua menunjukkan usaha dan komitmen LBS yang berterusan sebagai satu pasukan kepada pemilik rumah, komuniti dan negara. Saya sangat berbangga dengan pasukan LBS," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim menekankan komitmen teguh syarikat terhadap kelestarian dan inovasi semasa temu bual langsung eksklusif.

"LBS telah melabur RM60 juta untuk mewujudkan Sistem Binaan Berindustri (IBS). Pendekatan perintis ini menyelaraskan pembinaan dengan penghasilan panel konkrit pratuang dalam tetapan kilang terkawal dan pemasangan di tapak pembinaan dengan kerja tambahan minimum.

"Pelaksanaan IBS telah mengurangkan masa pembinaan, meminimumkan pembaziran bahan, penyelesaian isu buruh, pengurangan kesan alam sekitar dan meningkatkan kualiti keseluruhan.

"Bermula pada 2018 dengan perasmian kilang mudah alih di LBS Alam Perdana, diikuti dengan pembukaan kilang utama di Nilai pada Mac 2019, pelaburan ini menekankan dedikasi teguh LBS terhadap amalan mampan dan inovatif," katanya.

Beliau turut menyentuh inisiatif LBS untuk mewujudkan persekitaran inklusif untuk pekerja, termasuk peluang latihan dan pembangunan yang komprehensif, pakej imbuhan yang kompetitif, dan faedah pekerja yang disesuaikan.

"Sebagai pemaju rakyat, misi LBS adalah untuk membina rumah mampu milik dan berkualiti tinggi. Walaupun menghadapi cabaran Covid-19, termasuk gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan buruh, LBS bertindak pantas dengan melaksanakan amalan mampan dan mengoptimumkan kecekapan operasi.

"Ini membabitkan strategi perniagaan yang inovatif, perkongsian strategik, inisiatif pendigitalan, pelaburan pengurusan bakat, dan keutamaan pengalaman pelanggan dan kualiti produk.

"Usaha ini membantu LBS menerima pengiktirafan dan tersenarai di Bursa FTSE4Good pada 2022, mengesahkan komitmen syarikat terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang mantap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 1:48 PM