FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB) anak syarikat LBS Bina Group Berhad yang terbabit di dalam solusi pembinaan dan pembangunan hartanah berada pada kedudukan kukuh untuk menjana pendapatan kira-kira RM4.15 bilion pada tahun akan datang.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, tahun ini adalah tahun terbaik kepada MGB.

"Menerusi pendekatan Value Added Driven Technology (VadTech), kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian kos yang efektif dan inovatif kepada pelanggan.

"Kami juga telah berjaya membantu pelanggan kami dengan segmen pembinaan yang mesra kos dan sistem IBS yang sangat efisien.

"Oleh itu, kami turut berharap dapat mengurus dan bertanggungjawab sebagai rakan kongsi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan daripada peringkat awal hingga akhir," katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau situasi pasaran dan mengubah pendekatan mengikut kesesuaian.

"Dengan 22 projek yang masih berjalan daripada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan, MGB berada pada kedudukan pendapatan yang kukuh untuk menjana pendapatan kira-kira RM4.15 bilion pada tahun akan datang.

"Ini berdasarkan kepada tempahan sebanyak RM1.9 bilion dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM2.15 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah.

"Selain daripada kepesatan pembinaan bagi projek Residensi Bintang Bukit Jalil, Mercu Jalil, Ritma Perdana dan Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana, MGB memberi tumpuan untuk menyediakan 7,210 unit Rumah Selangorku Idaman MBI kepada rakyat Selangor.

"Pelancaran rumah pertama Rumah Selangorku MBI, Rumah Selangorku Idaman BSP menerima sambutan menggalakkan di mana 1,312 unit ditempah sepenuhnya dalam masa tiga bulan sejak pelancarannya.

"Ini adalah petunjuk positif yang menggambarkan rakyat percaya kepada kemampuan kami di dalam menyediakan projek perumahan yang lestari," katanya.

Sementara itu, MGB mencatatkan peningkatan pendapatan 5.41 peratus tahun ke tahun, daripada RM563.27 juta kepada RM593.76 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FYE2021).

Keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 89.43 peratus daripada RM14 juta kepada RM26.52 juta.

Bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (Q4FYE2021), ia mencatatkan pendapatan dan PAT masing-masing sebanyak RM188.55 juta dan RM10.34 juta.

Berbanding suku tahunan pada tahun 2020, pendapatan telah meningkat 3.84 peratus daripada RM181.57 juta manakala PAT lebih tinggi dengan 79.2 peratus berbanding RM5.77 juta.

Lim berkata, peningkatan positif ini adalah sebahagian dari sumbangan projek-projek yang sedang berjalan.

"Beberapa projek termasuk KITA Harmoni, KITA Bayu dan LBS Skylake Residence yang telah siap sepenuhnya pada FYE2021.

"Di samping itu, Kumpulan turut berjaya menutup dan memuktamadkan akaun projek yang selesai sebelum ini dengan kontraktor utama sekaligus menyumbang kepada keputusan kewangan," katanya.

Menurutnya, segmen pembinaan dan perdagangan, adalah penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB, dengan pendapatan yang direkodkan pada FYE2021 sebanyak RM576.95 juta berbanding RM479.14 juta pada FYE2020.

Katanya, walaupun prestasi MGB sedikit terjejas berikutan perintah kawalan pergerakan, pendapatan MGB secara keseluruhannya meningkat kembali apabila aktiviti pembinaan diberi kebenaran untuk beroperasi sepenuhnya pada Q4FYE2021.

Secara amnya, pencapaian kukuh ini dicatat dari keuntungan kasar FYE2021 berikutan daripada beberapa projek yang telah siap, dan yang sedang berjalan di samping melalui piawaian kawalan kos yang ketat, rundingan dan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB yang mengurangkan penggunaan tenaga buruh.

Menurutnya, walaupun berhadapan cabaran pandemik pada 2021, MGB telah bersiap sedia sepenuhnya apabila perintah kawalan pergerakan diumumkan.

"Oleh itu, saya amat gembira dengan pencapaian MGB bagi tahun 2021.

"Walaupun MGB masih di dalam proses pemulihan, dengan keputusan Q4 yang dilihat meningkat berbanding trend penurunan dari Q1 hingga Q3, kami akan terus memantau pencapaian syarikat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 3:32 PM