Tan Sri Lim Hock San (lima dari kiri) dan Mohammad Al Amre (empat dari kanan) diiringi pengurusan kanan dan wakil daripada SANY di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara MGB dan SA.
Tan Sri Lim Hock San (lima dari kiri) dan Mohammad Al Amre (empat dari kanan) diiringi pengurusan kanan dan wakil daripada SANY di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara MGB dan SA.

Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB) penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, hari ini telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan SANY Alameriah For Construction Co Ltd (SA).

SA merupakan syarikat usahasama (diperbadankan) di Kerajaan Arab Saudi antara SANY, pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia dan Alameriah, pemaju terkemuka di Arab Saudi khususnya dalam aktiviti pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur, reka bentuk dan binaan, serta pembuatan produk konkrit pratuang.

Menerusi perjanjian tersebut, SA menyasarkan untuk melantik MGB bagi melaksanakan kerja-kerja reka bentuk dan membina 10,000 unit hartanah dengan anggaran nilai projek SAR 2.5 bilion (RM2.9 bilion) di bawah Program Kerajaan Sakani (Pembinaan Unit) di Arab Saudi yang dianggarkan siap dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, SA turut berhasrat untuk bekerjasama dengan MGB bagi mengendalikan kilang konkrit pratuang yang terletak di Jeddah dan dijangka membekalkan sejumlah 1,000,000m3 produk konkrit pratuang bagi Pembinaan Unit selama lima tahun.

Majlis menandatangani perjanjian ini telah diadakan di Ibu Pejabat LBS di Plaza Seri Setia, Selangor.

Pada sesi tersebut Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San telah menandatangani bagi pihak MGB manakala SA diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pengarah SA, Mohammad Al Amre disaksikan Pengarah Urusan MGB, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan; Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim serta Ahli Lembaga SA, Tarek Amri.

Perjanjian tersebut akan berkuatkuasa pada 13 Januari 2023 selama 12 bulan melainkan perjanjian tersebut ditamatkan oleh mana-mana pihak yang menandatangani Perjanjian Definitif.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB Tan Sri Lim Hock San berkata, industri pembinaan mula beralih secara beransur kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai kaedah baharu yang dilihat berpotensi untuk meningkatkan prestasi pembinaan, kualiti serta produktiviti secara menyeluruh sekaligus dapat meningkatkan kecekapan dalam sektor pembinaan.

"Kami sangat optimis ke arah kemajuan yang lebih pesat, didorong oleh penggunaan Sistem IBS. Kerjasama yang terjalin ini akan menjadi titik tolak untuk kami menerokai pasaran di Timur Tengah.

"MGB turut bersedia untuk menyumbang kepakaran di dalam industri pembinaan di Timur Tengah dan kami amat berbesar hati kerana sistem IBS kami digunakan untuk tujuan pembinaan tersebut," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sistem IBS pada masa hadapan lebih mesra alam, selaras dengan agenda pembinaan hijau seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Industri Pembinaan (2021-2025) sebagai agenda nasional untuk memacu sektor pembinaan hijau dan penjimatan kos.

"Kami telah mengenal pasti sistem IBS sebagai penyelesai yang berpotensi untuk meningkatkan prestasi pembinaan dan kami berharap dapat meluaskan pengetahuan dan kepakaran kami dalam bidang ini.

"MGB akan terus konsisten untuk menerima kontrak-kontrak lain di samping meningkatkan tempahan pembinaan yang lebih kukuh dan menerokai pasaran yang berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 6:38 PM