Tune Protect Group melancarkan penyelesaian inovatif yang menyasarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk merapatkan jurang perlindungan dan menjadikan insurans lebih mudah diakses syarikat di Malaysia.

Insurans digital inovatif ini adalah yang pertama dalam pasaran insurans kesihatan dan hayat pekerja dalam talian oleh Tune Protect Life (TPL) yang menawarkan insurans perniagaan oleh Tune Protect Malaysia (TPM).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, Rohit Nambiar berkata, pihaknya menyaksikan pengambilan insurans amat lemah dalam kalangan PMKS, walaupun mereka sebahagian daripada 99 peratus penyumbang terpenting dalam ekonomi negara.

"Insurans dianggap sebagai proses mahal, kompleks dan membebankan bagi perniagaan.

"Untuk menangani jurang kritikal dalam perlindungan PMKS ini, Tune Protect melancarkan insurans digital komprehensif dengan menyediakan proses ringkas dan lancar, memudahkan PMKS meneroka produk insurans bagi menjaga kesejahteraan perniagaan dan pekerja mereka," katanya pada majlis pelancaran di sini, semalam.

Menurutnya, PMKS menyumbang 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, namun kekal sebagai kumpulan terbesar tidak diinsuranskan.

"Oleh itu, kami mengambil langkah proaktif menangani keperluan insurans bagi PMKS, kerana percaya semua orang perlu dilindungi.

"Kami percaya dengan insurans mudah diakses, dan berpatutan ini dapat menyokong pertumbuhan dan daya tahan komuniti PMKS dalam menyumbang kepada ekonomi lebih kukuh dan terjamin," katanya.

Tawaran inovatif ini membolehkan pemilik perniagaan merancang belanjawan lebih awal, dengan cadangan nilai unik tiga tahun jaminan premium tetap, di mana pemilik perniagaan hanya perlu membayar jumlah sama setiap tahun selama tiga tahun.

Selain insurans, program ganjaran berasaskan kesihatan dan kesejahteraan, iaitu Activ8, bertujuan meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan produktiviti pekerja melalui pemeriksaan kesihatan tahunan dan program bimbingan digital turut disertakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 7:01 AM