PASUKAN Tune Protect dan AirAsia pada pelancaran kerjasama kedua-dua syarikat.
PASUKAN Tune Protect dan AirAsia pada pelancaran kerjasama kedua-dua syarikat.

KUMPULAN Tune Protect Berhad (Tune Protect) dan AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) mengumumkan pelancaran insurans perjalanan terkini yang dipertingkatkan iaitu AirAsia Comprehensive Travel Plus yang menampilkan tambahan praktikal perkhidmatan Kemasukan Hospital Tanpa Tunai bagi polisi yang diterbitkan oleh Tune Protect Malaysia dan Tune Protect Thailand.

Bermula 19 Oktober lalu, ciri inovatif ini menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar dan bebas daripada masalah apabila memerlukan bantuan perubatan di luar negara.

Pelan AirAsia Comprehensive Travel Plus yang menampilkan perkhidmatan Kemasukan Hospital Tanpa Tunai menawarkan premium permulaan serendah RM74 untuk pelan perjalanan pergi balik. Pilihan ini terbuka untuk dibeli oleh pelancong yang berlepas dari Malaysia dan Thailand serta boleh diakses dengan mudah melalui semua platform tempahan dalam talian dan luar talian AirAsia, termasuk ciri Manage My Booking dan Daftar Masuk Dalam Talian melalui aplikasi airasia Move.

Ketua Pegawai Rakan Kongsi Tune Protect, Janet Chin berkata, kerjasama dengan AirAsia ini bertujuan menambah baik pengalaman perjalanan bagi penumpang dengan menyediakan perlindungan insurans yang komprehensif kepada mereka dan memudahkan proses mendapatkan rawatan perubatan di negara asing.

"AirAsia Comprehensive Travel Plus dengan perkhidmatan Kemasukan Hospital Tanpa Tunai adalah ciri praktikal untuk pengembara.

"Penambahan baharu ini, melegakan kesulitan membayar kemasukan hospital ketika melancong ke luar negara, yang boleh memberi kesan terhadap kewangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 6:20 AM