FUNDING Societies bermatlamat untuk menangani jurang pembiayaan RM90 bilion (AS$19 bilion) bagi PMKS.
FUNDING Societies bermatlamat untuk menangani jurang pembiayaan RM90 bilion (AS$19 bilion) bagi PMKS.

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan CGC Digital Sdn Bhd (CGC Digital) membuat pelaburan strategik ke dalam platform kewangan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersepadu terbesar Asia Tenggara, Funding Societies Modalku (Funding Societies).

Pelaburan itu adalah bagi memperluaskan akses untuk perniagaan yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan pembiayaan.

Funding Societies ialah syarikat teknologi kewangan (FinTech) serantau yang menyediakan pembiayaan kepada PMKS, terutamanya perniagaan mikro dan kecil yang tidak mendapat perkhidmatan daripada institusi kewangan sedia ada.

Sejak penubuhannya, Funding Societies telah menyalurkan lebih AS$3.5 bilion (RM16 bilion) dalam bentuk pembiayaan perniagaan melalui lima juta transaksi dan memberi impak positif kepada lebih daripada 100,000 perniagaan merentasi lima pasaran di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Dalam konteks Malaysia, Funding Societies bermatlamat untuk menangani jurang pembiayaan RM90 bilion (AS$19 bilion) bagi PMKS.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pelaburan dalam Funding Societies mencerminkan komitmen kumpulan untuk menggalakkan keterangkuman kewangan dan mengecilkan jurang pembiayaan, terutamanya dalam komuniti PMKS.

Beliau berkata, sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia dan menyumbang kepada hampir separuh pekerjaan dalam negara, peranan PMKS adalah penting kepada negara.

Namun, katanya pada masa sama PMKS berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan pembiayaan.

"Oleh itu, pelaburan ini selari dengan misi kami untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan pertumbuhan sosioekonomi," katanya.

Menurutnya, dengan menyokong platform inovatif seperti Funding Societies bersama CGC Digital, Khazanah berhasrat untuk memberdayakan komuniti PMKS, membuka peluang baharu untuk mendorong kemajuan negara selaras dengan visi Ekonomi MADANI untuk meningkatkan manfaat sosioekonomi kepada semua.

Katanya, penilaian impak Khazanah didorong oleh peranan platform kewangan digital seperti Funding Societies, yang mendahului dalam penyampaian pembiayaan digital menyeluruh kepada PMKS yang mendapat perkhidmatan terhad di Asia Tenggara.

Hal ini, katanya membolehkan akses PMKS yang lebih baik kepada modal dan mempromosikan keterangkuman kewangan di serantau.

"Khusus untuk pasaran Malaysia, dengan pelaburan Dana Impak, Funding Societies berhasrat menyalurkan lebih daripada 50 peratus pinjaman tahunan melalui pembiayaan patuh Syariah menjelang 2025. Ia selaras dengan aspirasi untuk menyokong pertumbuhan PMKS Bumiputera," katanya.

Pelaburan Khazanah itu adalah di bawah mandat Dana Impak, satu tonggak utama strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia).

Pelaburan itu menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan prestasi PMKS melalui akses yang lebih baik kepada pembiayaan, mencipta peluang dan membantu pertumbuhan sosioekonomi bagi komuniti luar bandar dan separa bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 9:59 AM