Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Pulai , Datuk Seri Salahuddin Ayub. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Pulai , Datuk Seri Salahuddin Ayub. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Nurul Husna Mahmud


Petaling Jaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyeru pemain industri berganding bahu bersama kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berpendapat, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan termasuklah bekerjasama dengan kementerian lain dan pemain industri bagi menangani kos sara hidup terutama persiapan menghadapi kemelesetan ekonomi dunia dijangka tahun depan.

"Saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada pemain industri, tidak kira di peringkat pengilang, pembekal dan peruncit supaya bersama-sama membantu kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran serta menggunakan teknologi yang dapat mengurangkan kos operasi.

"Hasil daripada penjimatan kos ini (boleh) digunakan untuk membantu rakyat dengan menurunkan harga barangan berkenaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-35 99 Speed Mart dan Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau memuji 99 Speed Mart sebagai pasar mini yang perlu dicontohi peruncit lain apabila syarikat terbabit mampu memberi penawaran harga barang lebih murah sekali gus mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Syarikat 99 Speed Mart mampu melaksanakan penjimatan kos operasinya dan hasil penjimatan itu dapat dikongsikan bersama rakyat dengan menurunkan harga barangan yang lebih murah kepada pembeli.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada 99 Speed Mart kerana bersama-sama membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya.

Katanya, sektor peruncitan antara sektor penting memacu ekonomi negara dan ia terbukti menerusi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mendedahkan nilai jualan sub-sektor Perdagangan Borong dan Runcit bagi suku ketiga 2022 adalah RM398.4 Billion dengan pertumbuhan positif 32.45 peratus.

"Kerajaan menyasarkan untuk mencapai nilai jualan sektor peruncitan sebanyak RM500 bilion tahun ini.

"Kerjasama yang erat antara kerajaan dan industri peruncitan akan memberikan manfaat kepada kemajuan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 12:55 PM