NIE Ching (kiri)  bersama  Mahadhir  (tengah) dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran DE Rantau@Kuala Lumpur di Komune Living, Bangsar, semalam.
NIE Ching (kiri) bersama Mahadhir (tengah) dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran DE Rantau@Kuala Lumpur di Komune Living, Bangsar, semalam.

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

[email protected]

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (Mdec) menyasarkan untuk mewujudkan 2,000 hab DE Rantau untuk nomad digital bagi tahun ini.

Nomad digital merujuk kepada kumpulan orang yang boleh melakukan kerjanya di mana sahaja, pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu dan tempat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, DE Rantau adalah program yang menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di Asean, sekali gus meningkatkan penggunaan digital dan mempromosi mobiliti profesional digital dan pelancongan di seluruh negara.

Katanya, program ini salah satu daripada Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin) dan dijangka mampu menyumbang sehingga RM4.8 bilion dalam bentuk perbelanjaan kepada ekonomi domestik negara menjelang 2025.

"Kuala Lumpur adalah lokasi program nomad digital ketiga selepas Pulau Pinang dan Pulau Langkawi yang dirasmikan tahun lalu.

"Setakat ini, terdapat sebanyak 764 hab DE Rantau di lokasi terbabit iaitu 278 di Langkawi, 147 di Pulau Pinang dan 339 di Kuala Lumpur.

"Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi terbaharu program DE Rantau dilihat bersesuaian dengan laporan NomadList.com yang merekodkan kedudukan Kuala Lumpur di tangga ke-15 lokasi terbaik untuk nomad digital daripada 218 bandar raya di seluruh dunia," katanya pada sidang media di majlis pelancaran DE Rantau@Kuala Lumpur Komune Living, Bangsar South anjuran Mdec di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Mdec Mahadhir Aziz.

Nie Ching berkata, lokasi program DE Rantau seterusnya ialah di Melaka, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, yang akan dilancarkan pada tahun ini.

DE Rantau turut memberi faedah melalui perkongsian maklumat, kepakaran dan kemahiran kepada pasaran tenaga kerja negara dengan nomad digital dari seluruh dunia.

Ini selaras dengan inisiatif Malaysia Digital yang memberi tumpuan menggerakkan rakyat untuk memainkan peranan penting dalam ekonomi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 7:15 AM