GAMBAR hiasan. Pengunjung bergambar di Ekspo Dubai 2020, Disember lalu. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Pengunjung bergambar di Ekspo Dubai 2020, Disember lalu. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasar menarik pelaburan komited bernilai lebih daripada RM300 juta, serta 50 prospek perniagaan yang layak semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia bermula 9 hingga 15 Januari di Ekspo Dubai 2020.

Naib Presiden Kanannya Raymond Siva berkata, kira-kira 20 syarikat teknologi tempatan dari Malaysia akan menyertai minggu tersebut, mempamerkan ekosistem digital negara yang komprehensif di ekspo bertaraf dunia itu.

Beliau berkata sebahagian daripada syarikat tersebut terlibat dalam bidang seperti teknologi kewangan, dron, dan kandungan digital yang dibimbing oleh MDEC.

"Ekspo tersebut telah menarik kira-kira 8.9 juta pengunjung dan lebih ramai lagi dijangka datang dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Jadi kami mengambil peluang ini untuk menampilkan kerja dan pertumbuhan yang dicatatkan dalam bidang digital, terutamanya dalam tempoh dua tahun lepas, apabila pandemik telah mendorong pendigitalan dan inovasi (terhadap syarikat)," katanya ketika program The Brief di Bernama TV, hari ini.

MDEC juga menggariskan beberapa program pemangkin yang akan diumumkan ketika minggu digital itu bagi menarik pelaburan ke dalam industri digital Malaysia.

"Beberapa pengumuman juga akan dibuat pada pertengahan minggu dan seterusnya yang akan meletakkan Malaysia pada kedudukan sangat kukuh sebagai hab digital untuk ASEAN.

"Ini benar-benar tentang menarik pelaburan digital ke Malaysia dan untuk meningkatkan ekosistem digitalnya," kata Siva sambil menambah ia juga selaras dengan inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan rantau ini, program yang diperkenalkan dalam Bajet 2022.

Pelbagai perjanjian kerjasama seperti memorandum persefahaman (MoU) turut akan diumumkan dan Minggu Ekonomi Digital Malaysia itu juga akan memberi peluang kepada syarikat yang mengambil bahagian untuk menjalin rangkaian dengan peserta antarabangsa yang lain sambil membuka peluang akses pasaran untuk mereka, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:01 PM