KEPUTUSAN dibuat BNM lebih berdasarkan suasana terkini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kekal mampan dan inflasi dapat dikawal. FOTO Arkib NSTP
KEPUTUSAN dibuat BNM lebih berdasarkan suasana terkini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kekal mampan dan inflasi dapat dikawal. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Jangkaan pasaran kadar dasar semalaman (OPR) bakal dinaikkan sekali lagi bulan ini bukan dipengaruhi oleh keputusan Rizab Persekutuan (Fed AS) menaikkan kadar faedah.

Sebaliknya, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) itu lebih menekankan fokus terhadap keadaan pasaran domestik dengan melihat peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan paras inflasi di Malaysia.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mu'izz Morhalim berkata, langkah dibuat oleh Fed AS bukan menjadi pertimbangan utama namun keputusan BNM lebih disandarkan kepada perubahan di luar yang memberi kesan kepada keadaan ekonomi dan tekanan harga dalam negara.

Katanya, keputusan dibuat BNM lebih berdasarkan suasana terkini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kekal mampan dan inflasi dapat dikawal.

"Kenaikan OPR ini juga menggambarkan kedudukan ekonomi negara semakin memulih dan memberi keyakinan kepada pelabur luar untuk terus melabur di Malaysia.

"Seperti kita tahu, inflasi teras terus meningkat kepada 4.2 peratus pada November 2022 dan keputusan BNM menaikkan OPR (bakal) dibuat untuk mengawal inflasi yang berpunca oleh tekanan permintaan (akhir-akhir ini).

"Kita faham perubahan OPR dibuat berdasarkan mandat BNM iaitu untuk memastikan kestabilan makro ekonomi negara (untuk jangka masa lebih panjang) selain mengawal inflasi supaya tidak meningkat ke paras luar kawal," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, pertumbuhan perdagangan runcit masih kukuh iaitu 22.8 peratus tahun ke tahun (atau kenaikan 18.3 peratus mengikut volum) pada November 2022 dan pertumbuhan dua digit ini menunjukkan prestasi perbelanjaan pengguna yang masih kuat.

Beliau berkata, untuk mengawal inflasi daripada terus naik mendadak, kenaikan OPR perlu dilaksanakan kerana perbelanjaan yang 'kuat' ini perlu dikawal bagi mengurangkan tekanan permintaan ke atas inflasi.

Ditanya mengenai keresahan orang ramai yang bimbang dengan kenaikan OPR, Abdul Mu'izz berkata, memang tidak dapat dinafikan ia akan memberi kesan langsung kepada sesetengah masyarakat terutama mereka yang mempunyai lebih daripada satu pinjaman dan peniaga yang masih bergelut untuk bangkit akibat pandemik.

"(Memang) kenaikan OPR ini tujuannya untuk mengekang peningkatan permintaan dan perbelanjaan yang kuat. Apabila permintaan berkurang, ini akan mengurangkan tekanan inflasi. Dalam masa sama (ini berlaku kerana) jika kita lihat dari segi kesan kenaikan OPR bagi peminjam, bayaran balik (pinjaman) akan meningkat, jadi lebihan pendapatan untuk dibelanjakan kepada perkara-perkara lain akan terhad.

"Dalam satu sudut lain bila kita imbau kembali pengalaman ekonomi negara pada 2008, kita dapati pada waktu itu kenaikan harga minyak mentah kepada AS$147 setong menyebabkan kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol dalam negara daripada RM1.92 seliter kepada RM2.70 seliter dan kesannya inflasi negara melonjak lebih 8.0 peratus antara Jun ke Ogos 2008.

"Ada pendapat pada waktu itu mengatakan BNM perlu menaikkan OPR kerana inflasi sudah meningkat, namun memahami punca kenaikan inflasi adalah disebabkan kenaikan harga minyak mentah ataupun kos pengangkutan, jadi BNM tidak membuat sebarang kenaikan OPR kerana tekanan harga disebabkan (masalah dari sudut) penawaran. Pada saya, itu satu keputusan yang tepat.

"Memahami keadaan sekarang pula, kenaikan harga adalah disebabkan peningkatan perbelanjaan (yang kuat) kerana data yang dilaporkan Jabatan Perangkaan menunjukkan perbelanjaan runcit terus meningkat menghampiri 23 peratus pada November 2022.

"Ini menunjukkan walaupun terdapat rungutan kenaikan harga dan kos sara hidup, dari segi prestasi perbelanjaan peningkatannya masih pada paras yang tinggi, jadi ini menunjukkan kalau tekanan daripada permintaan kuat tidak dikawal ia mungkin akan menyebabkan paras inflasi (akan) kekal di paras yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 6:05 AM