BANK pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi.
BANK pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi.

JAWATANKUASA Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras pinjaman dan simpanan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

Susulan peningkatan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.

BNM dalam kenyataan berkata, pembukaan semula ekonomi global dan peningkatan dalam pasaran buruh terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi.

"Bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan daripada peningkatan tekanan kos iaitu konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

"Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutamanya oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.

"Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat," kata BNM.

Menurutnya, pada masa hadapan, kadar pertumbuhan global dijangka menjadi sederhana dan akan terus dipengaruhi oleh tekanan kos yang tinggi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan global dan volatiliti pasaran kewangan.

"Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini. Penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.

"Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja lebih tinggi dan prospek pendapatan bertambah baik.

"Pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April lalu akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun.

"Bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk," katanya.

BNM berkata, sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.4 peratus.

"Meskipun purata itu dijangka kekal dalam julat unjuran tahun ini iaitu 2.2 peratus hingga 3.2 peratus, inflasi keseluruhan mungkin lebih tinggi pada sesetengah bulan disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga elektrik," katanya.

Menurutnya, berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 7:00 AM