BNM menjangkakan pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat  kekal ketat.
BNM menjangkakan pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat kekal ketat.

JAWATANKUASA Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Kenaikan OPR itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu telah dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.

Pada mesyuarat sebelum ini, MPC membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut dicatatkan sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November 2022.

Paras terendah OPR adalah 1.75 peratus pada tahun lalu.

BNM dalam kenyataan berkata, ekonomi global terus didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh serta pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Bagaimanapun, bank pusat itu berkata, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

Ia berkata, inflasi keseluruhan terus menurun namun inflasi teras terus melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Katanya, pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat pula dijangka kekal ketat.

"Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutama disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk berikutan tekanan yang berterusan dalam sektor perbankan.

"Bagi ekonomi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan kegiatan ekonomi berkembang selanjutnya pada suku pertama tahun 2023 selepas mencatatkan prestasi kukuh pada 2022," katanya.

BNM berkata, meskipun eksport dijangka menjadi sederhana, pertumbuhan pada 2023 akan didorong oleh permintaan dalam negeri.

Ia berkata, perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang lebih baik memandangkan pengangguran terus menurun ke tahap sebelum pandemik.

Katanya, ketibaan pelancong yang meningkat dijangka menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan.

"Projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan.

"Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan tanpa tanda-tanda pengetatan berlebihan yang mempengaruhi aktiviti penggunaan dan pelaburan," katanya.

BNM berkata, risiko prospek pertumbuhan dalam negeri secara relatif seimbang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 7:01 AM