KETUA Eksekutif BSN, Jay Khairil memaklumkan BSN berkhidmat kepada semua komuniti di Malaysia menerusi rangkuman kewangan dan perkhidmatan  di 390 cawangan BSN seluruh negara, 2,700 Ejen Bank BSN (EB BSN) di kawasan luar bandar dan beberapa Cawangan Bank Bergerak (CBB BSN) di Sabah dan Sarawak.
KETUA Eksekutif BSN, Jay Khairil memaklumkan BSN berkhidmat kepada semua komuniti di Malaysia menerusi rangkuman kewangan dan perkhidmatan di 390 cawangan BSN seluruh negara, 2,700 Ejen Bank BSN (EB BSN) di kawasan luar bandar dan beberapa Cawangan Bank Bergerak (CBB BSN) di Sabah dan Sarawak.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


BANK Simpanan Nasional (BSN) sentiasa proaktif memperjuangkan akses mudah kepada perkhidmatan kewangan bagi kawasan luar bandar dan perusahaan mikro melalui mandat keterangkuman kewangan yang diamanahkan.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, antara inisiatif utama yang diambil BSN adalah berkhidmat kepada semua komuniti di Malaysia menerusi rangkuman kewangan dan perkhidmatan yang disediakan melalui 390 cawangan BSN seluruh negara, 2,700 Ejen Bank BSN (EB BSN) di kawasan luar bandar dan beberapa Cawangan Bank Bergerak (CBB BSN) di Sabah dan Sarawak. CBB BSN juga akan dilanjutkan ke pantai timur iaitu Kelantan dan Pahang.

"BSN turut memberi perkhidmatan, sokongan dan pembiayaan kepada segmen kurang mendapat perkhidmatan dan usahawan mikro, selain mendekati sekolah di Malaysia untuk mendidik dan memupuk tabiat menyimpan dalam kalangan murid sekolah melalui program bersasar seperti Program Insentif BSJ dan BSN Smart Junior, BSN MyFirst dan program tanpa tunai BSN," katanya.

Sebagai salah sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), Jay Khairil berkata pengetahuan mengenai celik kewangan di Malaysia sedang menuju ke arah yang positif. Ini terbukti dengan penyertaan aktif dan bilangan individu yang mendapat manfaat daripada program celik kewangan yang dianjurkan oleh BSN.

"Mandat utama BSN masih sama, iaitu memupuk tabiat menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini tidak berubah. Namun, kami sedar tentang keperluan untuk mempelbagaikan dan menawarkan produk kewangan yang lebih menarik, agar kekal relevan dalam pasaran," katanya kepada Bisnes Metro.

"Kami berharap agar dapat memudahkan pelanggan kami mendapatkan perkhidmatan perbankan. Mereka kini mempunyai pilihan untuk ke cawangan bank secara fizikal untuk melakukan transaksi perbankan atau terus melakukan transaksi perbankan di mana-mana dan pada bila-bila masa di seluruh Malaysia, melalui myBSN, iaitu perbankan internet kami," katanya.

Menyentuh mengenai digitalisasi, beliau berkata dalam pelan strategi korporat BSN, antara aspek penting yang dititikberatkan adalah untuk mengukuhkan teras BSN, bermula dengan operasi pendigitalan dan proses dalaman, bagi memastikan sistem yang ditawarkan dapat menampung keperluan pelanggan sedia ada.

"Kami sangat menekankan celik dan keterangkuman kewangan kerana masih ramai pelanggan kami, terutamanya di kawasan pedalaman masih menggunakan transaksi tunai. Mereka perlu dibawa bersama ke arah pendigitalan secara berperingkat bagi membolehkan mereka sama-sama menikmati perkhidmatan perbankan lebih menyeluruh," katanya.

Jay berkata, masih terdapat jurang besar daripada segi ketersediaan infrastruktur digital di bandar berbanding luar bandar dan BSN perlu memastikan pelanggan pelbagai segmen menikmati manfaat perkhidmatan perbankan secara digital. Buat masa ini, proses ke arah digitalisasi perkhidmatan BSN telah bermula dan berada di landasan betul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 7:00 PM