RUDY Rodzila (kanan) dan Jay pada majlis pelancaran kerjasama Takaful Ikhlas dan BSN.
RUDY Rodzila (kanan) dan Jay pada majlis pelancaran kerjasama Takaful Ikhlas dan BSN.

Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menjalin kerjasama bancatakaful terbaharu yang mampu memacu pertumbuhan perkhidmatan kewangan Islam di negara ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, penyelesaian kewangan Islam terbabit akan ditawarkan kepada komuniti menerusi kerjasama lima tahun dengan Takaful Ikhlas yang menawarkan produk takaful am kepada pelanggan runcit dan mikro BSN.

"Kerjasama ini akan menumpukan tiga bidang utama iaitu motor atau kenderaan, pemilik rumah serta kemalangan peribadi.

"Kami akan turut menyediakan keupayaan digital bersepadu bagi memastikan kelancaran proses serta transaksi berkaitan," katanya pada majlis pelancaran kerjasama terbabit.

Rudy Rodzila berkata, kedua-dua pihak akan saling berkongsi penyelidikan serta kepakaran bagi tujuan pembangunan selain mempromosi penyelesaian kewangan Islam yang inovatif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BSN Jay Khairil berkata, produk serta penyelesaian takaful am itu dapat membantu bank berkenaan dalam memenuhi keperluan kewangan pelanggan yang mahir serta celik teknologi dengan BSN memanfaatkan 390 cawangan di seluruh negara sebagai saluran pengedaran.

"Kami menjangkakan dapat melihat pulangan komitmen yang besar sehingga RM305 juta sepanjang tempoh kerjasama ini," katanya.

Pelanggan BSN akan turut mendapat manfaat inisiatif Takaful Ikhlas berasaskan nilai untuk komuniti yang dikenali sebagai program 'Ikhlas Waqf dan Endowment (IWE)' yang juga sebahagian daripada paltform pengumpulan dana patuh Syariah, Ikhlas Barakah House.

IWE RM1,000 diwakafkan atas nama peserta yang meninggal dunia akibat kemalangan dan diserahkan kepada institusi wakaf dan endowmen pilihan Takaful Ikhlas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 7:50 PM