Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pentadbiran baharu Malaysia berdepan tugas berat untuk mengukuhkan pemulihan, mengekalkan momentum ekonomi dan persekitaran politik yang stabil di tengah-tengah keadaan luaran yang tidak menentu termasuk potensi kemelesetan global pada 2023 seperti yang diramalkan oleh pemerhati pasaran.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Malaysia berada dalam situasi sukar dan perlu membuat keputusan yang betul dan seperti kebanyakan negara Asia lain, penggubal dasar menunggu pembukaan semula sepenuhnya China yang bakal memberi dorongan besar kepada ekonomi negara.

Meskipun ketidaktentuan ekonomi global dan China, ekonomi Malaysia meraih manfaat daripada harga komoditi yang tinggi.

"Jadi, kerajaan perlu memberi penekanan bahawa ekonomi Malaysia berada di kedudukan yang baik sebagai pengeksport komoditi, dan kesabaran diperlukan sehingga ekonomi China dibuka semula bagi perniagaan.

"Akan ada aktiviti rancak di tanah besar yang akan memberi rangsangan kepada ekonomi Malaysia," kata Innes kepada Bernama.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini. Pertumbuhan itu sebahagiannya didorong oleh kesan asas rendah berikutan langkah-langkah pembendungan ketat pada suku ketiga tahun lepas.

Menurut Bank Negara Malaysia, susulan pertumbuhan kukuh dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pertumbuhan tahun penuh 2022 dijangka melepasi paras tujuh peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Bagaimanapun, melangkah ke 2023, pertumbuhan itu dijangka kembali normal berikutan persekitaran luaran yang lebih mencabar.

Pada Oktober tahun ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada 2023, lebih rendah berbanding unjuran awalnya pada 4.7 peratus pada Julai susulan jangkaan pertumbuhan ekonomi rendah sebanyak 2.7 peratus dengan kemungkinan pertumbuhan ekonomi dunia jatuh di bawah paras 2.0 peratus.

Ringgit, kadar faedah

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan pergerakan pertukaran asing ketika ini dipengaruhi terutamanya oleh pendirian dasar monetari yang berbeza.

"Walaupun dolar AS/ringgit terus melepasi paras baharu, kadar pertukaran efektif sebenar ringgit semakin bertambah baik sejak Mei 2022. Unit tempatan mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding mata wang utama lain seperti Won Korea, Euro dan Yen Jepun," katanya.

Beliau berkata Malaysia memiliki sumber semula jadi dan peningkatan harga komoditi memberikan negara penampan yang diperlukan bagi menampung tekanan penawaran menerusi intervensi fiskal dan kadar inflasi negara mungkin memuncak pada suku ketiga 2022 dan ini akan mengurangkan tekanan kepada kerajaan untuk mengambil langkah agresif.

"Lagipun, kadar faedah sebenar Malaysia jauh lebih tinggi berbanding ekonomi maju, jadi kita perlu melihat isu ini secara keseluruhan dan bukan hanya daripada satu perspektif sahaja," katanya yang percaya kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bertujuan untuk menghapuskan secara beransur-ansur akomodasi monetari dan bukannya untuk mengurangkan inflasi.

Beliau berkata kenaikan kadar faedah juga merupakan langkah pertahanan tidak langsung terhadap pengaliran keluar modal dan langkah membendung inflasi adalah lebih baik melalui langkah fiskal berbanding monetari.

Pada 3 Nov selepas mesyuarat monetari yang terakhir bagi tahun ini, BNM mengumumkan OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus, kenaikan keempat berturut-turut sejak Mei lepas.

MIDF Research menjangka BNM akan menaikkan OPR kepada paras sebelum pandemik pada 3.00 peratus pada Januari 2023.

Katanya pengumuman oleh BNM untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) lagi daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetarinya yang terakhir pada 2022 sejajar dengan jangkaan pasaran, tetapi kekal di bawah paras sebelum pandemik.

Dalam nota penyelidikan pada minggu lepas, firma penyelidikan itu berkata melangkah ke 2023, tumpuan penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan.

Kestabilan Politik?

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), disebut-sebut sebagai yang paling sukar untuk meramalkan gabungan mana yang akan menerajui kerajaan, terutamanya berikutan sejak empat tahun lepas, rakyat Malaysia mempunyai pengalaman ditadbir oleh tiga kerajaan daripada gabungan yang berbeza, semuanya dengan majoriti tipis dengan pencapaian masing-masing dilihat oleh majoriti rakyat sebagai jauh daripada memuaskan.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 mungkin menjadi titik perubahan yang besar bagi negara berikutan perubahan rejim melalui peti undi buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Innes berkata pilihan raya pada 2018 adalah mengenai kemarahan rakyat dan ahli politik mengetahui bahawa rakyat Malaysia mempunyai ingatan politik yang panjang dan perlu meredakan kegusaran itu.

"Kestabilan politik" telah menjadi bualan politik sejak akhir-akhir ini berikutan parti politik diharap dapat diberi mandat dengan jumlah undi yang lebih tinggi dan memastikan Malaysia sentiasa menjadi destinasi pilihan pelabur asing.

Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia naik sebanyak RM24.1 bilion kepada RM836.2 bilion pada akhir suku kedua 2022 berbanding RM812.1 bilion pada suku pertama 2022, dengan sektor pembuatan kekal sebagai penerima terbesar, dengan nilai sebanyak RM360 bilion atau 43.1 peratus.

Ini diikuti aktiviti kewangan sebanyak 22.7 peratus (RM189.8 bilion) manakala perdagangan borong dan runcit meningkat 6.3 peratus (RM53 bilion).

Firdaos berkata takrifan kestabilan politik sering dibahaskan berikutan terdapat banyak cara untuk mentakrifkannya.

"Jika ditanya dari aspek perbahasan dasar dan pertentangan/percanggahan idea, saya fikir ia akan berterusan, jika tidak lebih tinggi lagi, berikutan pendemokrasian media.

"Tetapi jika ditanya dari aspek politiking oleh ahli politik dan orang ramai yang bercita-cita tinggi dan tidak berpuas hati, saya fikir ini dijangka akan berterusan selepas PRU15," katanya kepada Bernama dalam temu bual melalui e-mel baru-baru ini.

Firdaos berkata negara akan menjalani satu lagi pusingan musim pilihan raya selewat-lewatnya pada suku ketiga 2023 memandangkan beberapa negeri mesti membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing dalam tempoh enam bulan atau lebih.

Selain itu, keputusan PRU15 pastinya akan memberikan kesan besar ke atas situasi pilihan raya negeri tahun depan, katanya.

"Kita tidak boleh menghentikan kekecohan, keriuhan atau perbualan yang tidak bermakna atau yang mengganggu dasar dan politik," katanya.

Beliau berkata justeru, keutamaan segera kerajaan yang akan datang adalah membentuk barisan Kabinet baharu dan membentangkan semula Bajet 2023 dengan serta-merta, sama ada dalam bentuk sekarang atau sebaliknya.

"Bukan langkah yang bijak untuk membaik pulih bajet itu kerana kekangan masa, jadi, saya menjangkakan ada penambahbaikan dengan sedikit pelarasan ke atasnya, jika ada," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Penyelidikan (Demokrasi dan Tadbir Urus), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Halmie Azrie Abdul Halim berpandangan sekiranya sebuah gabungan parti politik hanya memiliki majoriti mudah, ia masih memerlukan kerjasama daripada gabungan yang lain untuk membentuk kerajaan yang benar-benar kukuh.

Ketika ini, semua gabungan hanya menumpu usaha untuk mencari satu formula bagi merealisasikan 'angka ajaib' 112 kerusi sebagai majoriti mudah. PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen secara keseluruhannya.

Justeru, seandainya dua gabungan perlu bekerjasama untuk membentuk sebuah kerajaan, mereka perlu memastikan kestabilan politik demi kebaikan negara memandangkan banyak cabaran luaran di peringkat dunia dan Malaysia yang menanti pada 2023, katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Kesihatan turut berpandangan bahawa sebuah gabungan perlu fleksibel dalam membentuk kerajaan akan datang.

"Terdapat kemungkinan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan yang akan dapat membentuk kerajaan daripada kalangan mereka sendiri. Jadi, kita mesti bersikap terbuka terhadap perbincangan.

"Sebuah perikatan atau campuran selepas pilihan raya nampaknya satu kemungkinan," katanya dalam program 'The Breakfast Grille' terbitan stesen radio BFM pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika berlakunya keadaan Parlimen tergantung iaitu situasi apabila tidak ada mana-mana gabungan parti politik sedia ada yang mempunyai majoriti mutlak.

Setiap gabungan parti politik itu perlu ke hadapan dan membuktikan jumlah majoriti yang mereka peroleh, katanya.

"Bagaimanapun saya berpendapat, anda juga seharusnya mempertimbangkan aspirasi bersama. Ia bukan hanya sesuatu yang bersifat instrumen sahaja. Ia turut perlu menjadi sesuatu yang kita boleh hayati dari segi aspirasi dan nilai bersama serta sebagai platform dasar.

"Ya, kita mesti fleksibel kerana kita perlu membentuk sebuah kerajaan dan kestabilan adalah penting. Kita telah melakukannya dengan sangat baik, berusaha untuk keluar daripada pandemik, data suku ketiga yang memberangsangkan dari segi pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Oleh itu, kita mesti meneruskan momentum ini memandangkan anda tahu bahawa cabaran global tahun depan adalah amat, amat hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 10:24 AM