KERAJAAN perlu memberi penekanan ekonomi Malaysia berada di kedudukan yang baik.
KERAJAAN perlu memberi penekanan ekonomi Malaysia berada di kedudukan yang baik.

PENTADBIRAN baharu Malaysia berdepan tugas berat untuk mengukuhkan pemulihan, mengekalkan momentum ekonomi dan persekitaran politik yang stabil di tengah-tengah keadaan luaran yang tidak menentu termasuk potensi kemelesetan global pada 2023 seperti yang diramalkan oleh pemerhati pasaran.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, Malaysia berada dalam situasi sukar dan perlu membuat keputusan yang betul dan seperti kebanyakan negara Asia lain, penggubal dasar menunggu pembukaan semula sepenuhnya China yang bakal memberi dorongan besar kepada ekonomi negara.

Meskipun ketidaktentuan ekonomi global dan China, ekonomi Malaysia meraih manfaat daripada harga komoditi yang tinggi.

"Jadi, kerajaan perlu memberi penekanan ekonomi Malaysia berada di kedudukan yang baik sebagai pengeksport komoditi dan kesabaran diperlukan sehingga ekonomi China dibuka semula bagi perniagaan.

"Akan ada aktiviti rancak di tanah besar yang akan memberi rangsangan kepada ekonomi Malaysia," kata Innes kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan pergerakan pertukaran asing ketika ini dipengaruhi terutama oleh pendirian dasar monetari yang berbeza.

"Walaupun dolar AS/ringgit terus melepasi paras baharu, kadar pertukaran efektif sebenar ringgit semakin bertambah baik sejak Mei 2022. Unit tempatan mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding mata wang utama lain seperti Won Korea, Euro dan Yen Jepun," katanya.

Beliau berkata, Malaysia memiliki sumber semula jadi dan peningkatan harga komoditi memberikan negara penampan yang diperlukan bagi menampung tekanan penawaran menerusi intervensi fiskal dan kadar inflasi negara mungkin memuncak pada suku ketiga 2022 dan ini akan mengurangkan tekanan kepada kerajaan untuk mengambil langkah agresif.

"Lagipun, kadar faedah sebenar Malaysia jauh lebih tinggi berbanding ekonomi maju, jadi kita perlu melihat isu ini secara keseluruhan dan bukan hanya daripada satu perspektif sahaja," katanya yang percaya kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bertujuan untuk menghapuskan secara beransur-ansur akomodasi monetari dan bukannya untuk mengurangkan inflasi.

Beliau berkata, kenaikan kadar faedah juga merupakan langkah pertahanan tidak langsung terhadap pengaliran keluar modal dan langkah membendung inflasi adalah lebih baik melalui langkah fiskal berbanding monetari.

Pada 3 November selepas mesyuarat monetari yang terakhir bagi tahun ini, BNM mengumumkan OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus, kenaikan keempat berturut-turut sejak Mei lepas.

MIDF Research menjangka BNM akan menaikkan OPR kepada paras sebelum pandemik pada 3.00 peratus pada Januari 2023.

Katanya, pengumuman oleh BNM untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) lagi daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetarinya yang terakhir pada 2022 sejajar dengan jangkaan pasaran, tetapi kekal di bawah paras sebelum pandemik.

Dalam nota penyelidikan pada minggu lalu, firma penyelidikan itu berkata melangkah ke 2023, tumpuan penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disebut-sebut sebagai yang paling sukar untuk meramalkan gabungan mana yang akan menerajui kerajaan, terutamanya berikutan sejak empat tahun lalu, rakyat Malaysia mempunyai pengalaman ditadbir oleh tiga kerajaan daripada gabungan yang berbeza, semuanya dengan majoriti tipis dengan pencapaian masing-masing dilihat oleh majoriti rakyat sebagai jauh daripada memuaskan.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 mungkin menjadi titik perubahan yang besar bagi negara berikutan perubahan rejim melalui peti undi buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 7:01 AM