Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Kenaikan kadar dasar semalaman atau OPR kepada 3.0 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM), baru-baru ini menimbulkan kegusaran berkaitan kesannya terhadap ekonomi Malaysia terutama dalam kalangan rakyat terbanyak.

Untuk rekod, OPR sudah dinaikkan sebanyak 25 mata asas secara berperingkat pada Mei, Julai, September dan November tahun lalu kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus pada Julai 2020 iaitu ketika negara dibadai pandemik Covid-19. Pendukung peningkatan ini berpendapat bahawa penjajaran semula kadar OPR kepada kadar prapandemik adalah langkah berhemat demi menangani tekanan inflasi dan menjaga kestabilan kewangan.

Malah, mereka turut menegaskan bahawa OPR yang lebih tinggi boleh membantu membendung aktiviti peminjaman yang berlebihan, mengelakkan gelembung aset dan menarik pelaburan asing.

Bagaimanapun, pengkritik pula berpendapat bahawa pemasaan (timing) kenaikan OPR yang tidak selari dengan daya usaha pemulihan ekonomi oleh kerajaan, sekali gus bakal melemahkan sentimen pengguna dan perniagaan. Malah, mereka turut berpendapat bahawa kenaikan OPR menatijahkan kos pinjaman lebih tinggi dan mengurangkan pelaburan swasta yang mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, kenaikan OPR juga membebankan isi rumah dan perniagaan yang bergelut dengan kadar keberhutangan tinggi yang kemudian bakal mengakibatkan peningkatan kemungkiran pinjaman.

Kini, ada gesaan daripada pelbagai pihak terutama peminjam supaya kerajaan membuat perancangan tahunan mengenai kenaikan OPR dan memaklumkan lebih awal supaya rakyat dapat merancang perbelanjaan. Kendatipun begitu, pada hakikatnya, kerajaan tidak mempunyai sebarang pemberatan (weightage) atau mempunyai kuasa untuk mempengaruhi dasar monetari negara kerana keputusan mengenai kenaikan (dan penurunan) OPR dikawal sepenuhnya Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM.

Untuk rekod, MPC secara khususnya dan BNM secara umumnya dipertanggungjawab menggubal, melaksana dan mengendalikan dasar monetari negara. Antara alat monetari di bawah bidang kuasa MPC ialah penetapan kadar OPR yang mempengaruhi kos pinjaman untuk isi rumah, perniagaan dan kerajaan. Melalui pelarasan kadar OPR, MPC boleh mempengaruhi kredit dan bekalan wang dalam ekonomi yang boleh memberi mengawal kadar inflasi, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan.

Selain daripada OPR, MPC juga menggunakan pelbagai alat dasar monetari seperti operasi pasaran terbuka dan penetapan keperluan rizab berkanun (statutory reserve requirement) oleh bank di bawah pengawal seliaan BNM untuk terus mempengaruhi ketersediaan dan kos kredit dalam pasaran kewangan negara.

Satu fakta yang sangat penting mengenai MPC namun jarang disingkap umum ialah betapa MPC adalah jawatankuasa bebas dengan tahap autonomi yang tinggi dan terlindung daripada campur tangan politik. Untuk makluman, anggota MPC sudah dipastikan untuk tidak terkait dengan mana-mana parti politik atau kumpulan berkepentingan bagi memastikan mereka boleh membuat keputusan yang dipacu data (data-driven) dan analisis ekonomi teguh (robust economic analysis).

Untuk rekod, MPC dianggotai lapan individu ahli jawatankuasa yang dipengerusikan Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, masing-masing tiga Timbalan Gabenor dan tiga Penolong Gabenor. Manakala baki dua lagi anggota MPC dipilih BNM berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang ekonomi, kewangan dan bidang berkaitan sama ada ahli akademik, sektor swasta atau agensi kerajaan yang lain. Mereka dilantik kerajaan Malaysia dan berkhidmat untuk tempoh tetap, biasanya tiga tahun.

Secara keseluruhannya, ahli MPC BNM adalah individu yang sangat profesional dan berkelayakan dengan kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk membuat keputusan termaklum mengenai dasar monetari.

Manakala dari sudut kebertanggungjawaban (accountability), MPC mahupun BNM bertanggungjawab kepada kerajaan Malaysia, khususnya kepada Menteri Kewangan.

Gabenor BNM melapor terus kepada Menteri Kewangan yang bertanggungjawab menyelia dan memastikan BNM beroperasi dalam ruang lingkup mandat yang digariskan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Bagaimanapun, BNM beroperasi dengan tahap kebebasan dan autonomi yang tinggi, khususnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar monetari. Kebebasan ini juga termaktub dalam Akta BNM 2009 yang memberikan kuasa kepada BNM untuk membuat keputusan mengenai dasar monetari tanpa campur tangan daripada kerajaan.

Secara tuntasnya, kebebasan MPC diperuntukkan dalam Seksyen 22(2) Akta BNM 2009 iaitu "Dasar monetari Bank (Negara Malaysia) hendaklah dirumuskan dan dilaksanakan secara autonomi oleh Bank (Negara Malaysia), tanpa apa-apa pengaruh luar."

Secara keseluruhannya, Seksyen 22 Akta BNM 2009 bersama-sama peruntukan lain dalam akta itu membantu memastikan kebebasan dan autonomi BNM dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar monetari. Kebebasan ini amat penting bagi mengekalkan kredibiliti dan keberkesanan BNM dalam mencapai objektif utamanya iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan di negara ini.

Persoalannya, bagaimanapun BNM seharusnya mengambil langkah lebih proaktif dengan mempergiat usaha penerangan mengenai konsep asas OPR, tatacara penentuan kadar OPR, apakah kesan kenaikan (atau penurunan) OPR kepada rakyat terbanyak melalui kempen celik kewangan termasuk secara fizikal mahupun maya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 6:15 AM