BANK Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir tahun ini. FOTO Arkib NSTP
BANK Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir tahun ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir tahun ini.

Pada Khamis, bank pusat mengumumkan kadar utama itu dikekalkan pada 3.00 peratus. Ini menandakan sesi ketiga berturut-turut apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memilih untuk mengekalkannya pada tahap yang sama.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), MPC berkata, pendirian semasa dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa inflasi dan pertumbuhan.

"Kami mengambil ini sebagai isyarat bahawa tiada keperluan mendesak untuk melaraskan OPR dalam tempoh terdekat, walaupun prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 sederhana dan persekitaran luaran yang lemah.

"Dengan mengambil kira (faktor) ini, kami mengekalkan jangkaan yang BNM akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus dalam mesyuarat akhir MPC 2023," katanya dalam nota, hari ini.

Mesyuarat MPC yang terakhir dan keenam tahun ini akan diadakan pada 1 dan 2 November.

Public Investment Bank Bhd pula berpandangan bahawa kadar semasa membolehkan BNM menilai dengan teliti kesan kenaikan kadar kumulatif 125 mata asas (bps) sejak permulaan kitaran kenaikan kadar pada Mei 2022.

Ia berpendapat ketidaktentuan global yang semakin meningkat dan kesan asas yang tinggi akan memberikan cabaran yang getir untuk mengekalkan momentum ekonomi pada suku akan datang.

"Namun, sekiranya ekonomi domestik melebihi jangkaan, kami percaya BNM mungkin mempertimbangkan normalisasi secara beransur-ansur Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3.00 peratus pada suku ketiga 2024," tambahnya.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan keadaan global pada suku atau dua suku berikutnya kekal lemah kerana Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar dana persekutuan yang tinggi kerana ia lebih cenderung untuk mengurangkan inflasi berbanding pertumbuhan ekonomi.

Tambahan pula, China masih berdepan cabaran pertumbuhan yang besar berikutan keyakinan perniagaan dan pengguna yang lemah dalam keadaan ekonomi dan politik yang tidak menentu, masalah berterusan dalam industri hartanah, serta ruang fiskal yang terhad untuk sokongan yang besar dan berkesan, katanya.

Firma pembrokeran itu turut mengunjur OPR akan dikekalkan pada tahap semasa untuk baki tahun ini dan sepanjang 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 2:51 PM