Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran penerbangan sulung AirAsia Indonesia bagi laluan Jakarta-Silangit.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran penerbangan sulung AirAsia Indonesia bagi laluan Jakarta-Silangit.
BERNAMA

Danau Toba: Capital A Bhd meneruskan rancangan untuk menyenaraikan AirAsia Aviation Group Ltd dan airasia Super App di New York.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tony Fernandes berkata syarikat itu, sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Bhd, mungkin membuat pengumuman itu tahun depan.

"Kami merancang untuk menyenaraikan AirAsia Aviation, yang kini syarikat persendirian, dan Super App, yang sedang berjalan tetapi kami akan membuat pengumuman dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita pada satu acara di sini baru-baru ini.

AirAsia Aviation terdiri daripada AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Thailand dan AirAsia Indonesia.

Capital A mengadakan acara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit, Sumatera Utara, Indonesia sempena operasi penerbangan sulung Jakarta-Silangit oleh AirAsia Indonesia bermula 1 September 2022.

Sementara itu, Fernandes berkata syarikat akan menggantikan Airbus A320, kumpulan pesawat berbadan sempitnya, dengan A321 yang lebih jimat bahan api berikutan penghantaran semula pesawat pada 2024.

Beliau berkata 2023 adalah tahun untuk kembali ke tahap sebelum Covid-19 dan berkembang semula pada 2024 dengan A321, sambil menambah bahawa penghantaran pesawat sehingga 2029 telah dibiayai.

"Matlamat pertama kami adalah untuk memastikan semua 205 pesawat kami terbang. Kami mempunyai 110 penerbangan sekarang dan menjelang akhir tahun, 160 dan mungkin pada suku pertama 2023 kesemuanya," katanya.

Fernandes berkata AirAsia juga menjangka untuk menerbangkan hampir 40 juta penumpang tahun ini, kira-kira separuh daripada jumlah yang dibawa pada 2019.

Beliau berkata pasaran Asia Utara syarikat penerbangan itu dijangka pulih tahun depan berikutan negara yang melonggarkan sekatan perjalanan dengan China mungkin dibuka secara beransur-ansur pada pertengahan tahun depan.

"Jepun masih belum dibuka sepenuhnya, Korea Selatan nampaknya akan dibuka tidak lama lagi dan Taiwan masih ditutup, dan lain-lain. Saya fikir menjelang tahun depan, kita memulihkan Asia Utara juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 4:14 PM