AAAGL sudah mula menunjukkan pertumbuhan operasi dengan banyak penerbangan dilaksanakan terutamanya penerbangan domestik. FOTO Reuters
AAAGL sudah mula menunjukkan pertumbuhan operasi dengan banyak penerbangan dilaksanakan terutamanya penerbangan domestik. FOTO Reuters
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), anak syarikat penerbangan Capital A Bhd menyasarkan operasinya bakal mencatatkan pemulihan sepenuhnya menjelang suku keempat tahun ini didorong pembukaan semula sempadan dan ekonomi antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kumpulan ketika ini sudah melihat lonjakan dalam permintaan perjalanan udara di kebanyakan negara.

Katanya, AAAGL juga sudah mula menunjukkan pertumbuhan operasi dengan banyak penerbangan dilaksanakan terutamanya penerbangan domestik.

"Perjalanan udara rentas negara juga sudah mula meningkat dengan banyak penerbangan dari Indonesia ke Thailand serta Malaysia ke Kemboja.

"Biarpun pasaran utama China masih lagi tidak membuka pintu sempadan, tetapi kami yakin masih terdapat negara berpotensi lain seperti India dan negara Asean lain.

"Selain itu, pada masa ini hanya 45 peratus pesawat digunakan dan berharap menjelang suku keempat tahun ini kami dapat menggunakan semua 200 pesawat kami bagi memenuhi permintaan sektor penerbangan," katanya pada sidang media secara maya di sini, semalam.

Hadir sama Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang baru dilantik sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AAAGL.

Tony berkata, bagaimanapun sekiranya China membuka kembali pintu sempadannya, ia akan menjadi bonus kepada kumpulan.

Sementara itu, pelantikan Jamaludin akan memberikan perspektif baharu dan kepimpinan lebih mantap bagi menyokong pertumbuhan strategik perniagaan penerbangan.

Katanya, di bawah struktur baharu itu, AAAGL akan menyelia semua syarikat penerbangan di bawah Capital A, selain menyokong AirAsia Consulting, perkhidmatan korporat bersama AirAsia SEA, rangkaian restoran makanan dan minuman Santan serta penyedia perkhidmatan darat GTR.

"Pembentukan lembaga pengarah baharu untuk AAAGL, yang terdiri daripada semua pengarah bebas, (kecuali Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan), adalah berasingan daripada lembaga pengarah Capital A.

"Ini memberikan tumpuan khusus pada perniagaan penerbangan untuk menyokong pertumbuhan yang mampan termasuk menubuhkan syarikat baharu pada masa hadapan.

"Keutamaannya adalah untuk mengumpulkan gabungan profesional terkemuka daripada pelbagai industri dan kemahiran berlainan untuk saling melengkapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 8:31 AM